Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Orang Melayu, ahli Umno sendiri tak mahu langgan Utusan dan NST

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Arahan Kerajaan Negeri yang mahu semua jabatan berhenti melanggan akhbar Kumpulan Utusan dan New Straits Time Press (NSTP) adalah langkah tepat bagi memastikan penjawat awam Selangor tidak terdedah dengan budaya fitnah, maki hamun juga samseng.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, budaya negatif itu turut menyebabkan ahli Umno sendiri semakin menjauhkan diri daripada akhbar milik parti mereka.

“Sekarang orang Melayu tidak baca utusan Malaysia lagi. Ahli Umno sendiri tidak melanggan Utusan Malaysia lagi.

“Memang benar dalam sebuah negara yang amalkan demokrasi, saya mahu rakyat Selangor mempunyai akses kepada ilmu yang memberi pencerahan kepada mereka tetapi pencerahan dimaksudkan berasaskan fakta serta ilmu yang baik bukan fitnah, maki hamun juga bukan budaya samseng.

“Saya tidak membenarkan mana-mana jabatan atau agensi Kerajaan Negeri melanggan akhbar yang tidak ada nilai berita untuk rakyat Selangor,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu diakui bekas Editor Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Mustapha Kamil Mohd Janor, yang menempelak Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang membidas tindakan Kerajaan Selangor menghentikan langganan akhbar Kumpulan Utusan dan New Straits Time Press (NSTP).

Katanya, Mustapha Kamil turut mencadangkan supaya pemimpin Umno bertanya kepada ahli mereka mengapa tidak menyokong akhbar sendiri.

“Dah adat lah tu. Selangor itu di bawah kerajaan parti pembangkang. Utusan dan NSTP itu Umno yang empunya. Buat apa Kerajaan Selangor nak langgan akhbar yang polisi sidang pengarangnya semata-mata untuk seteru politik mereka?”

“Cuba fikir sejenak, macam manakah akhbar NST itu jualan hariannya sekitar 50 ribu naskhah sahaja sehari dan Berita Harian sekitar 100 ribu (mungkin kurang) sedangkan Umno ada tiga juta ahli.

“Jika satu persepuluh sahaja pun dari jumlah ahli Umno beli dua akhbar ini, keduanya akan sihat kewangan. Jadi, eloklah tanya ahli Umno dahulu kenapa mereka tidak menyokong akhbar mereka,” kata Mohamed Azmin yang memetik kenyataan Mustapha Kamil di akaun laman sosial facebook miliknya, baru-baru ini.