Categories
NASIONAL

Jangan ‘double standard’ hak lawat sekolah

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, video memaparkan kibaran bendera dan nyanyian lagu UMNO dalam sebuah program yang dianjurkan di sebuah sekolah di Putrajaya mempunyai unsur politik.

Beliau berkata, sekolah seharusnya dijadikan medium memupuk pemikiran pelajar bukannya tempat menyebarkan propaganda.

“Alam persekolahan adalah untuk memupuk pemikiran pelajar bukan propaganda. Kalau nak masukkan unsur politik, bagi dua pihak (BN dan PAKATAN) masuk, baru adil untuk pelajar berfikir serta menilai.

“Jika membenarkan sebelah pihak sahaja itu untuk unsur propaganda,” katanya.

Menerusi pertanyaan lisan yang dikemukakan di Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid dalam jawapan bertulis menyatakan, program yang dijalankan di SK Putrajaya Presint 14 (1) anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu bertemakan kemerdekaan bukan unsur politik.

Jawapannya turut menyatakan, penganjur perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia jika ingin menggunakan sebarang premis dan kemudahan sekolah bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan warga sekolah serta harta benda.

Tze Tzin berkata, hak sama perlu diberikan kepada wakil rakyat Pakatan Harapan kerana kehadiran mereka memasuki kawasan sekolah bukan untuk mengancam keselamatan tetapi melihat kemudahan yang boleh dinaik taraf serta diperbaiki khususnya di peringkat Kerajaan Negeri.

“Wakil rakyat memasuki sekolah hanya untuk membantu rakyat. Seharusnya mereka bersikap terbuka.

“Wakil rakyat masuk ke sekolah bukan untuk mengancam keselamatan rakyat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihalang memasuki sebuah sekolah bagi menyampaikan bantuan.