Categories
NASIONAL

Menteri gagal faham realiti krisis sektor peruncitan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 NOV: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak memahami kemelut sebenar realiti yang berlaku terhadap sektor peruncitan negara.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, gagal menyatakan sebarang pandangan secara konsisten membabitkan kemelut isu berkenaan.

“Hakikatnya, jika perniagaan adalah baik dan harga barangan tidak naik melambung, Giant dan mana-mana perniagaan runcit lain tidak akan terkesan teruk seperti dilaporkan.

“Tambahan pula pendapatan rakyat tidak meningkat pada kadar yang setara. Pada masa ini, keadaan ekonomi memaksa ribuan pekerja dihentikan.

“Malah sektor perdagangan borong dan runcit mengalami kadar pembuangan kerja paling teruk selepas sektor pembuatan, iaitu 20.7 peratus daripada 37,699 keseluruhan pekerja yang dibuang pada tahun 2016,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, Menteri tidak boleh mencanang bahawa prestasi ekonomi kukuh dan berjaya, tetapi apabila sesuatu keadaan buruk yang memberi kesan kepada ribuan pekerja didedahkan.

“Kerajaan terus menafikannya malah menyalahkan orang lain pula.

Menteri harus melihat semula dasar serta perancangan sedia ada, dan berusaha membaik pulih keadaan sebelum ia menjadi lebih parah,” katanya.

Terdahulu, Nik Nazmi mendedahkan penutupan lima Pasaraya Giant yang disifatkannya sebagai bukti ekonomi negara berada pada situasi membimbangkan.

Beliau berkata, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang jelas memberi kesan kepada peniaga dan juga pembeli yang semakin berkurangan kuasa membeli.

Bagaimanapun, Kerajaan mendakwa penutupan itu tiada kaitan dengan keadaan ekonomi negara seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak.