Categories
KENYATAAN MEDIA

Umno BN masih gagal rungkai masalah miskin tegar

OLEH RODZIAH ISMAIL

Saya mengambil maklum kenyataan dikeluarkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun yang menyatakan bahawa seramai 64,894 ketua isi rumah berpendapatan di bawah RM580 sebulan dan masih berstatus miskin tegar di negara ini.

Kerajaan Umno BN yang sudah memerintah sehingga 60 tahun tidak menampakkan sebarang usaha yang mendatangkan hasil untuk menyelesaikan permasalahan miskin tegar di negara ini.

Kerajaan seolah-olah tidak bertanggungjawab untuk membantu golongan miskin.

Pada September 2009, Datuk Seri Najib Razak sendiri telah menetapkan sasaran untuk mengeluarkan kira-kira 45,000 keluarga daripada kemiskinan tegar di negara ini menjelang tahun 2010.

Jika usaha kerajaan pada masa lampau tidak dapat diatasi, inikan pula untuk membasmi kadar kemiskinan tegar sehingga ‘disifarkan’ pada masa kini?

Berikutan kejatuhan nilai matawang Ringgit, kenaikan harga barang dan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), boleh menunjukkan realiti sebenar kemiskinan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Selain itu, punca kemiskinan terjadi berikutan amalan ekonomi liberal kapitalis dan monopoli yang menyuburkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Setakat ini ada 64,894 yang berstatus miskin tegar dan apa yang dibimbangkan akan timbul yang baru dari semasa ke semasa.

Kerajaan Umno BN sememangnya tidak peka terhadap isu kemiskinan malah, kerajaan sekian lama tidak berusaha untuk membasmi kemiskinan dan mengangkat tahap kualiti hidup rakyat.

Golongan ini sebetulnya perlu mempunyai hasil pendapatan yang berupaya menampung keperluan asas kehidupan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Sungguhpun Najib Razak mengumumkan pelbagai janji untuk menanganinya, namun ternyata janji-janji tersebut masih belum terpenuhi dan menjadi bukti kegagalan dasar transformasi yang dirangkanya sendiri.

Saya percaya bajet alternatif Pakatan Harapan yang dibentangkan merupakan medium terbaik untuk membantu rakyat mengharungi suasana ekonomi yang semakin menghimpit kini.

* Rodziah Ismail adalah ADN Batu Tiga (KEADILAN)