Categories
SELANGOR

Jurnal Islam dan Warisan Selangor bakal diterbitkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebuah jurnal mengenai Islam dan Warisan Selangor akan diterbitkan bagi memperjelaskan beberapa isu khususnya mengenai perpaduan yang kini hangat diperkatakan di semua peringkat.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab memupuk keharmonian dan perpaduan khususnya di Selangor.

“Antara usaha dilakukan menperjelaskan isu mengenai Islam yang turut menyentuh soal Islamphobia adalah mengadakan mesyuarat dengan beberapa agensi supaya beberapa laman sesawang (web) dikemaskini untuk bacaan khusus mengenai nilai perpaduaan.

“Jurnal juga akan diterbitkan sebagai bahan bacaan dengan hasrat memupuk perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, hasrat membingkai perpaduan seperti ditegaskan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali wajar disambut baik seperti penganjuran pertemuan dengan tokoh agama lain di bawah program dakwah bagi membincangkan beberapa perkara khususnya untuk memperkukuh perpaduan.