Categories
SUKANKINI

Kasma fokus menang di laman sendiri

SHAH ALAM, 16 NOV: Hala tuju Kasma Daniel Kasmayuddin musim ini yang sering menjadi persoalan, tidak menjejaskan fokus pelumba muda berbakat itu memenangi pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017.

Ia dilihat sebagai hadiah buat penyokongnya apabila turun beraksi di laman sendiri di Dataran Bandar Penawar, Johor, 18 dan 19 November ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu telahpun merangkul gelaran juara keseluruhan CP150 selepas pusingan kesembilan di Pulau Pinang dibatalkan dengan mengumpul 125 mata, 25 mata mengatasi Ahmad Afif Amran di kedudukan kedua.

“Perlumbaan di laman sendiri sangat penting. Sejak 2015 dalam kategori CP115 saya memenangi semua perlumbaan di Johor.

“Jadi saya mahu mengekalkan rekod tersebut sebagai hadiah kepada keluarga dan penyokong.

“Ini perlumbaan terakhir, sudah tentu saya ingin menamatkannya dengan bergaya,” jelas Kasma.

Kasma yang turut beraksi dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia di Sepanyol pada musim ini menjelaskan sebarang keputusan terletak kepada pasukannya untuk menentukan hala tuju selepas musim 2017 berakhir.

“Buat masa ini, saya hanya memikirkan tentang perlumbaan Cub Prix minggu ini.

“Saya mahu menikmati dan meraikan kejayaan bersama pasukan, keluarga dan penyokong.

“Selepas semuanya berakhir, barulah saya akan memikirkan tentang musim hadapan,” katanya.