Categories
NASIONAL

KDN diminta perjelas, lancar pendaftaran PAKATAN

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 20 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi maklum balas segera bagi melancarkan proses perdaftaran parti itu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia diperlukan supaya perdaftarannya selesai segera dalam memastikan gabungan itu mempunyai tempoh mencukupi untuk menghadapi pilihan raya unum (PRU).

“Menteri kena beritahu apa masalah supaya kita dapat selesaikan cepat (proses pendaftaran PAKATAN) kerana kalau dalam seminggu atau dua minggu (diluluskan) kemudian PRU, tidak cukup masa untuk bersiap.

“Kita dimaklumkan ia berkaitan DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kena beritahu segera supaya boleh bertindak cepat,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian selepas keluar dari KDN dan memaklumkan hasrat PAKATAN mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak berlaku kerana beliau difahamkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mantan perdana menteri itu berkata, keadaan itu menghampakan kerana KDN mengetahui berhubung pertemuan terbabit yang menyaksikan PAKATAN hadir dengan barisan pemimpin utamanya.

Beliau berkata, pertemuan bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim jelas memaklumkan perkara berkaitan dan kementerian memahaminya.

“Kita dimaklumkan berhubung dua masalah itu (berkaitan DAP dan PPBM) dan kita tanya lagi kalau ada perkara lain supaya memudahkan urusan pendaftaran.

“Kita tidak berniat membantah dan akan mengikut segala syarat ditetapkan kerana apa yang penting ia dapat diselesaikan segera.

“Ini kerana kelulusan pendaftaran hanya boleh dibuat perdana menteri dan bukan pegawai kementerian,” katanya.

Selama ini, katanya, tiada makluman diperoleh berhubung perkara itu dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam sidang Parlimen hanya menjelaskan pendaftaran berkaitan PAKATAN dalam pertimbangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Sebelum ini pun, pendaftaran parti politik lain dapat dibuat segera tapi kenapa untuk PAKATAN memakan masa,” katanya.

PAKATAN mengemukakan permohonan pendaftaran gabungan itu kepada RoS, pada awal tahun ini dan beberapa bulan selepas itu diminta menukar logo parti dengan memasukkan tulisan ‘Pakatan Harapan’ secara penuh.

Menyertai Dr Mahathir ke KDN antaranya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Turut kelihatan, Pengarah Sekretariat PAKATAN, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Cheras dari DAP, Tan Kok Wai.