Categories
SELANGOR

Projek Xpress MMKN harumkan nama Pejabat SUK

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 NOV: Projek XpressMMKN, inovasi penyampaian perkhidmatan pertama seumpamanya di seluruh Malaysia muncul naib johan, pada Konvensyen Team Excellence Kebangsaan 2017.

Ketua Kumpulan M.A.S.K.E.R, Diana Shuwardi berkata, inovasi itu memberi impak tinggi kepada Pejabat SUK Selangor bagi menjimatkan kos selain memberi kesan terutamanya melibatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, projek dibangunkan itu juga menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti unit tersebut selain memberi impak positif kepada pemegang taruh (stakeholders) dan pelanggan.

“Penanda aras turut dibuat dengan beberapa kabinet dunia bagi mendapat tanda aras terbaik projek ini.

“Sistem atas talian dibangunkan untuk semakan keputusan MMKN juga adalah setaraf dengan sistem semakan atas talian yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Konvensyen Team Excellence Kebangsaan 2017 berlangsung di Genting International Convention Centre, Pahang, pada 14 hingga 16 November lalu.

M.A.S.K.E.R mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) daripada Unit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, terdiri daripada tujuh ahli.

Selain muncul Naib Johan, M.A.S.K.E.R juga memenangi 10 kumpulan terbaik Kategori Sektor Awam (Negeri) serta Anugerah Emas 3 Bintang.

XpressMMKN TM merupakan solusi tiga dalam satu yang praktikal dan lengkap merangkumi tiga idea inovasi iaitu Kiosk Drop’n Go melibatkan penghantaran Kertas Pertimbangan MMKN, Sistem TrackON TM iaitu semakan status Kertas Pertimbangan MMKN secara atas talian serta iAlert iaitu pemakluman keputusan Mesyuarat MMKN melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Sebelum projek itu dilaksanakan, penghantaran-semakan-pemakluman tersebut dibuat secara manual melalui kaunter dan secara lisan dan bertulis.

“Perancangan M.A.S.K.E.R seterusnya untuk memastikan XpressMMKN TM diseragamkan di seluruh Selangor dengan membuat penambahbaikan di samping menjana idea lain seiring Revolusi Industri 4.0 demi memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.