Categories
NASIONAL

Kecurian hasil laut negara hampir RM6 bilion

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Alasan penguatkuasa kekurangan peruntukan minyak untuk rondaan jauh dan kerap di kawasan perairan negara tidak boleh diterima kerana sebelum ini sudah berlaku kes pencerobohan nelayan asing.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata Kerajaan Persekutuan perlu menyiasat kecurian hasil laut berjumlah 980,000 tan metrik mengakibatkan kerugian hampir RM6 bilion.

Katanya, jarak rondaan Polis Marin sejauh lima kilometer di Zon B bermula dari pantai sementara Penguatkuasa Maritim dari lima kilometer dan ke atas di Zon C.

“Peruntukan tidak mencukupi oleh orang atasan seolah-olah menghalang rondaan di Zon B yang mana kegiatan secara haram bot nelayan Vietnam berleluasa.

“Jika pihak berkuasa keluar jauh, mereka tidak mempunyai minyak mencukupi untuk pulang,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Katanya, kementerian perlu mengusulkan segera pindaan Akta Perikanan 1985 seperti disarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelakkan pencerobohan hasil laut terus berleluasa.

“Kenapa Kerajaan Persekutuan tidak mahu memberi sokongan menjaga hak nelayan tempatan untuk meminda akta berkenan dan kelihatan lebih berpihak kepada kepentingan nelayan asing yang hanya dikenakan tindakan serta hukuman yang ringan?,” soalnya.

=EZY=