Categories
PBT SELANGOR

Enam jabatan anggotai penubuhan Jawatankuasa Bencana peringkat MBPJ

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 27 NOV: Sebanyak enam jabatan di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyertai Jawatankuasa Bencana bakal ditubuhkan tidak lama lagi.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jawatankuasa itu akan memberi tumpuan kepada skop penugasan seperti banjir, tanah runtuh, runtuhan, ribut, kemalangan dan kebakaran.

“Jawatankuasa ini akan dianggotai Jabatan Penguatkuasaan selaku urus setia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran.

“Selain itu, tiga lagi jabatan lain ialah Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan dan Jabatan Kawalan Bangunan.

“Walaupun Jawatankuasa Bencana Alam yang sedia ada kini di bawah Pejabat Daerah Petaling, namun saya rasa ianya perlu diwujudkan di peringkat Majlis supaya sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi bencana alam seperti yang berlaku di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan dalam Mesyuarat Majlis Bil 11/2017 di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, mesyuarat berkaitan penubuhan jawatankuasa itu akan diadakan dalam masa terdekat.

=EZY=