Categories
SELANGOR SUKANKINI

Kenal pasti kaedah terbaik seimbang sukan dan pendidikan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri kini dalam cadangan untuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi memastikan pembabitan golongan belia dapat diseimbangkan dalam bidang sukan dan pendidikan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, perkara itu harus dipertimbangkan supaya golongan belia yang berpotensi menjadi pelapis dalam bidang sukan turut memberi tumpuan dalam akademik.

“Apabila membabitkan pembangunan sukan dan pendidikan, terdapat sedikit konflik berlaku kerana aspek pendidikan terletak di bawah Kementerian Pendidikan, manakala sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

“Masalah selalu timbul ketika peperiksaan, maka kita kini sedang kenal pasti apakah kaedah terbaik untuk meleraikannya sama ada akan menggabungkan sukan dan pendidikan,” katanya.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad berkenaan inisiatif Kerajaan Negeri meningkatkan mutu dan pelapis sukan di masa hadapan pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya, ia adalah antara cadangan yang sedang dilihat supaya dua bidang itu dilihat lebih seimbang untuk pelapis sukan negeri.