Categories
KENYATAAN MEDIA

Pencerobohan nelayan Vietnam ancam hidupan laut

Baru-baru ini kita telah digemparkan dengan berita 4 ekor penyu yang nyaris mati akibat tersangkut pada pukat tangsi yang hanyut. Empat ekor penyu tersebut telah diselamatkan oleh lima hero nelayan kita yang kebetulan melalui laluan tersebut.

Tahniah kepada 5 hero nelayan kita yang berhati mulia dalam menyelamatkan penyu-penyu tersebut.

Walau begitu, saya cukup risau apabila semua ini terjadi akibat pencerobohan yang terus berleluasa oleh nelayan asing yang jelas tidak sensetif kepada keadaan dasar laut kita.

Mereka sewenang-wenangnya menggunakan pukat tangsi dan alatan lain yang akan merosakkan terumbu karang yang menjadi ekosistem habitat terancam terutamanya penyu yang kian pupus.

Pukat jenis ini tidak digunakan nelayan tempatan, sebaliknya disyaki digunakan nelayan haram dari Vietnam yang masuk secara haram ke perairan negara untuk menangkap ikan dan hasil laut yang lain.

Saya berulang-ulang kali bertegas di dalam dan luar parlimen mengatakan bahawa pencerobohan yang berlaku di perairan kita adalah benar yang merugikan hasil lautan negara yang mencecah RM5 billion Ringgit setahun. Kini terumbu karang kita pula yang menjadi ancaman nelayan asing.

Justeru penguatkuasaan perairan kita perlu terus dipertingkatkan dengan memastikan anggota kawalan yang cukup, peralatan yang lebih canggih dan yang paling penting adalah memastikan tidak berlaku rasuah dan salah guna kuasa di peringkat penguatkuasaan mairitim kita.

YB Datuk Raja Kamarul Bahrin
Ahli Parlimen Kuala Terengganu