Categories
NASIONAL

Kenapa bos JASA dibayar gaji tinggi?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan mengenai kadar gaji Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menerima bayaran maksimum sehingga RM20,592 setiap bulan.

Katanya, jumlah bayaran diperolehi Ketua Pengarah JASA itu dilihat melebihi gaji Menteri Komunikasi dan Multimedia apabila menerima RM14,907.20 sebulan.

“Semakan saya ke atas Senarai Perjawatan 2018 mendapati Ketua Pengarah JASA dibayar gaji berdasarkan Kod Gaji VU7 sehingga maksimanya RM20,592, lebih daripada gaji menteri Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat.

Beliau turut mempersoalkan mengenai peruntukan RM12.8 juta bagi bayaran emolumen untuk 272 kakitangan JASA yang hanya berperanan sebagai juru kempen Umno-BN.

Wan Azizah berkata, bayaran emolumen bagi kakitangan JASA itu sewajarnya dilakukan oleh Ibu Pejabat Umno dan BN dan bukannya dengan menggunakan dana hasil cukai keringat rakyat di negara ini.

“Saya ingin bertanya, apa kewajaran membayar gaji seorang ketua pengarah JASA melebihi seorang Menteri Persekutuan?

“Dan bukankah lebih wajar emolumen kakitangan JASA itu dibayar oleh Ibu Pejabat Umno dan BN tanpa menggunakan dana hasil cukai rakyat,” katanya.

=EZY=