Categories
SELANGOR

Hutang lapuk sukarkan MSN Selangor berdiri sendiri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri berpandangan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) masih tidak mampu berdiri sendiri sebaliknya memerlukan pembiayaan dana daripada kerajaan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, MSN yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri sejak 2009-2010 kini masih menanggung hutang lapuk hampir RM20 juta.

“Ketika ini saya katakan tidak mampu. Malah, sebelum ini di zaman Barisan Nasional juga dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Dari rekod yang diperolehi agak menakutkan. Bukan sahaja ada aset malah terpaksa menampung hutang lapuk. Lebih RM20 juta ditanggung dari RM40 juta hasil daripada pembangunan kepada aset MSN yang dibuat dahulu

“Seharusnya, pembangunan yang dibuat mendatangkan hasil akhirnya kita terpaksa tanggung hutang. Ini satu beban besar yang terpaksa ditanggung MSN,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri Permatang, Sulaiman Razak.

Katanya, tanah yang seharusnya diberikan kepada MSN untuk membayar hutang dan dibangunkan kawasan perumahan tetapi hutang tidak dibayar dan lebih menggemparkan data berkenaan turut hilang berdasarkan maklumat yang diperoleh.

Katanya, adalah lebih baik MSN memberikan tumpuan memastikan Selangor menyediakan atlet untuk bersaing diperingkat kompetatif atau sukan berprestasi tinggi.

“Biarlah MSN tumpu kepada pembangunan sukan sebaliknya pengurusan harta diuruskan MBI atau Darul Ehsan Facilities secara profesional,” katanya.

Menyentuh soal peruntukan MSN, sejumlah RM5.6 juta diperuntukkan untuk pengurusan dengan pecahan emolumen RM4.2 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM999,000), perolehan aset (RM37,000), pemberian dan kenaan tetap (RM136,000 serta perbelanjaan (RM205,000).

Sehingga kini, MSN mempunyai 78 pegawai berbanding 40 kerana pertambahan tugas untuk menguruskan gerak kerja generasi muda dan belia, pada 2008.