Categories
PBT SELANGOR

Kerjasama baik MPSp, media berterusan

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA, 25 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) berharap kerjasama baik bersama media dapat terus dipereratkan demi kebaikan bersama.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Taib, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) merakamkan penghargaan kepada pihak media yang sentiasa membantu.

“Kita tahu peranan media dalam membantu pentadbiran negara, negeri, PBT dan pihak lain sangat penting.

“Saya berterima kasih dan menghargai kerjasama media falam melaporkan berita terutama berkaitan MPSp sama ada memihak atau sebaliknya,” katanya dalam majlis MPSp bersama media – ‘Media Appreciation Night’ di Taman Tasek Cyberjaya di sini, semalam.

Sebagai penjawat awam, Puasa berkata, beliau dan kakitangan MPSp sentiasa berusaha menjalankan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negeri.

“Berhubung majlis bersama media ini, ia adalah program tahunan dan kali ketiga diadakan di sepanjang saya mengetuai MPSp.

“Saya berharap ia bakal berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Yang Dipertua MPSp, Muhammad Hafiz Shaari dan Pengerusi Kelab Media Putrajaya, Norliza Abd Rahman.

=EZY=