Categories
KENYATAAN MEDIA

KKM diseru masukkan Vaksin Pneumokokal dalam PIK

Sebagai tanda keprihatinan terhadap kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor dalam Belajawan 2018 Negeri Selangor telah mengumumkan satu peruntukan sekali beri (one-off) sebanyak RM180.00 kepada semua pemegang Kad Peduli Sihat untuk mendapatkan suntikan vaksin Pneumokokal.

Suntikan tersebut boleh didapati di semua klinik yang mengambil bahagian dalam Skim Peduli Sihat dan jumlah RM 180.00 yang digunakan untuk suntikan ini tidak akan ditolak daripada kelayakan Peduli Sihat. Ini bermakna kelayakan bagi pemegang Kad Peduli Sihat dinaikkan daripada RM500.00 kepada RM700.00 bagi tahun 2018.

Dengan ini, Pengarah Pendidikan DAPSY Kebangsaan Chiong Yoke Kong menyeru Kementerian Kesihatan supaya memasukkan Vaksin Pneumokokal ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) untuk memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.

Suntikan Pneumokokal merupakan vaksinasi yang digunakan bagi membantu untuk menghalang jangkitan bakteria Streptococcus Pneumoniae yang menyerang paru-paru dan boleh menyebabkan kesan terutamanya kepada kanak-kanak serta warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Pneumokokus bukan sahaja merupakan punca kepada penyakit seperti sinus atau jangkitan tengah telinga, tetapi juga menyebabkan berlakunya penyakit Pneumokokal Invasif (Invasive Pneumococcal Diseases, IPD) yang boleh mengancam nyawa seperti pneumonia, sepsis, dan meningitis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan bahawa terdapatnya 3.4% – 6.8% daripada 8.8 juta kematian kanak-kanak bawah umur 5 tahun di seluruh dunia pada tahun 2008 adalah berpunca daripada jangkitan pneumokokal.[1]

Di Malaysia, pneumonia tersebar luas dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan kadarnya adalah antara 28% sehingga 39%. Penyakit tersebut merupakan punca kematian keenam di Malaysia, dengan 5% kematian pada tahun 2010 disebabkan olehnya.

Langkah terbaik untuk mencegah jangkitan adalah melalui imunisasi. Namun begitu, setakat kini, vaksin Pneumokokal tidak tergolong dalam senarai vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Walau bagaimanapun, vaksin tersebut merupakan vaksin pilihan yang sangat disarankan dan boleh diperoleh daripada klinik-klinik swasta di seluruh negara.

Kini Vaksin Pneumokokal sudah diwajibkan dalam program imunisasi kebangsaan yang telah melebihi 50 buah negara yang terdiri daripada negara maju serta membangun seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Malaysia, faktor kos merupakan kekangan utama kepada pelaksanaan usaha itu kerana setiap suntikan pneumokokal adalah mencecah jumlah sehingga AS$20 (RM83.00), lagipun suntikan tersebut perlu diberikan sebanyak tiga hingga empat kali.

Biarpun berbahaya dan saban tahun angka kematian semakin meningkat, hanya segelintir daripada golongan ibu bapa di Malaysia yang menyedari tahap keseriusan penyakit ini dan banyak lagi yang tidak memberikan suntikan vaksin Pneumokokal kepada anak mereka.[2]

Hal ini disebabkan kos keseluruhan vaksin pneumokokal ini boleh mencecah RM1200.00 dan bukanlah semua ibu bapa mampu menanggung kos suntikan vaksin Pneumokokal ini untuk anak-anak mereka.

Kajian klinikal membuktikan penyakit meningitis boleh menyebabkan punca kematian sehingga 10% Dianggarkan juga 25% daripada mereka berpotensi untuk mengalami kecacatan otak kekal akibat serangan berkenaan.

Bagi kes yang serius, pesakit perlu menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan kos rawatan anggaran dari RM1000.00 hingga RM1500.00 sehari. Kadar semasa tidak termasuklah kos bekalan ubat. Tempoh rawatan di ICU pula meliputi tempoh selama berminggu-minggu.[3]

Secara keseluruhan, kerajaan terpaksa menampung kos rawatan yang tinggi dengan prosedur ICU, keperluan pemantauan doktor pakar dan perbelanjaan tambahan keluarga sepanjang tempoh rawatan anak masing-masing.

Jelasnya, pemberian vaksin Pneumokokal bukan sahaja memberikan perlindungan kepada kanak-kanak, malah turut mengurangkan kos perubatan untuk merawati penyakit pneumonia.

Yang pastinya adalah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Kerajaan Persekutuan harus mewajibkan vaksin Pneumokokal bagi menjamin kesihatan yang lebih baik untuk generasi muda pada masa hadapan.

[1] http://www.who.int/wer/2012/wer8714.pdf?ua=1

[2] http://www.star2.com/health/wellness/2017/03/12/a-case-for-pneumococcal-vaccines/

[3] https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/09/324842/imunisasi-elak-penyakit-berbahaya

 

OLEH: Pengarah Pendidikan DAPSY Kebangsaan Chiong Yoke Kong berkaitan dengan “VAKSIN PNEUMOKOKAL” di Kuala Lumpur pada 19 November 2017