Categories
SELANGOR

INPENS ungguli emas WSMB 2017

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 NOV: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) berjaya menggondol pingat emas di Worldskills Malaysia Belia (WSMB 2017) dalam bidang Teknologi Fesyen yang diumumkan di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), 16 November lalu.

Pingat emas itu dirangkul Azni Syafika Alizar menyaksikan beliau turut membawa pulang RM5,000 selepas menewaskan seorang lagi wakil INPENS Kashtoori Thomas dan lapan lagi finalis di peringkat akhir.

Ketua Sektor Tekstil & Pakaian INPENS, Zalina Rahmat berkata, usaha peserta yang tidak mengenal masa dan keringat berbaloi dengan kejayaan menggondol pingat emas tersebut.

“Kita ada dua wakil di peringkat akhir yang akhirnya dimenangi Azni Syafika. Ini kejayaan yang membanggakan INPENS dan ucapan tahniah juga kita ucapkan kepada seorang lagi wakil INPENS Kashtoori yang turut berada dalam senarai 10 finalis.

“Dengan kemenangan ini INPENS juga sudah bersiap sedia melatih barisan pelapis dalam bidang jahitan untuk memasuki pertandingan sama pada tahun hadapan,” katanya.

WSMB merupakan arena pertandingan untuk pelajar kemahiran menunjukkan bakat masing-masing di dalam pelbagai bidang kemahiran yang mempertandingkan 22 kategori dan disertai ratusan pelajar institusi kemahiran milik kerajaan serta swasta di seluruh Malaysia.

Zalina juga berkata, beliau dan barisan tenaga pengajar terlibat akan terus melatih Azni sebagai persediaan untuk menyertai Worldskills ASEAN 2018 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Ogos 2018.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata penyertaan dua wakilnya dalam bidang Teknologi Fesyen di WSMB 2017 membuktikan graduan INPENS berkemahiran dan mempunyai daya kompetitif yang tinggi.

“Tahun hadapan juga, WSMB bakal menyaksikan INPENS akan menghantar lebih ramai wakil untuk bidang-bidang kemahiran yang lainnya seperti elektrik, automotif dan penyaman udara.

“Kemenangan tahun ini juga sebenarnya adalah pencetus motivasi kepada pelajar INPENS yang lain untuk menyahut cabaran mengangkat prestij dunia kemahiran,” katanya.

Katanya, kejayaan ini menunjukkan INPENS komited memperkasakan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Selangor dalam usaha menjayakan agenda Smart Selangor.

=EZY=