Categories
SELANGOR

Lebih 140 kanak-kanak jalani saringan EIP

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 NOV: Lebih 140 kanak-kanak berpeluang mengikuti tujuh sesi ujian saringan Early Intervention Program (EIP) anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), sejak November 2016.

Ketua Pegawai Kewangannya, Zannifa Azura Ahmad berkata, program itu memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah membawa anak menjalani ujian, bagi mengenal pasti perkembangan mereka.

Katanya, ia adalah komitmen anak syarikat Kerajaan Negeri itu bagi memastikan agenda pendidikan Selangor tidak meminggirkan mana-mana golongan.

“Selain ujian saringan, ibu bapa, penjaga dan keluarga juga berpeluang mengikuti program khas untuk ibu bapa berkenaan teknik serta motivasi dalam mengendali anak yang memerlukan perhatian istimewa.

“Begitu juga golongan pengasuh yang banyak meluangkan masa bersama anak ini.

“Dengan adanya pendidikan awal, anak ini mampu mencapai banyak perkara hebat, ditambah sokongan mereka yang paling hampir terutama ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat kunjungan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Shamshida Taharin, di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

Selain sesi saringan, EIP turut menganjurkan bengkel Smart Parenting selain melahirkan beberapa program ‘spin off’ program dengan ibu bapa, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi kerajaan.

Turut dianjurkan program 1 Taska 1 Duta untuk menggalakkan sekurang-kurangnya satu pendidik mampu mengendalikan kanak-kanak istimewa di taska.