Categories
SELANGOR

EIP: Platform pengusaha taska dapat maklumat terkini

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 17 OKT: Program Jelajah Intervensi Awal menjadi platform pengusaha taska mendapat maklumat terkini terutamanya pembangunan silibus dan program pengasuhan anak-anak istimewa.

EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, maklumat, pendedahan dan kesedaran itu boleh diguna pakai di taska atau tadika masing-masing.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu memberi kesedaran kepada pengusaha taska dan tadika supaya memberi peluang golongan Orang Kelainan OKU itu belajar di tempat mereka.

“Saya faham bukan mudah untuk pengusaha membuka ‘pintu’ untuk anak-anak istimewa ini belajar dalam komuniti namun, masyarakat perlu sedar dan bertanggungjawab membantu golongan ini supaya tidak terpinggir.

“Ibu bapa anak-anak istimewa ini berbelanja sehingga RM30,000 setahun bagi mendapatkan aksesbiliti pendidikan awal di beberapa pusat intervensi awal swasta dan kos ini sangat mahal selain perjalanan jauh ke pusat itu.

“Sehubungan itu, guru-guru dan pengusaha perlu memberi ruang kepada golongan ini bersama komuniti dan tidak meminggirkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program ‘Roadtour Early Intervention (EIP) di RHR Hotel Uniten, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor , Mohammad Hanafi Maulud dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Malaysia, Rozita Kamil.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, dalam usaha meringankan beban pengusaha itu, Kerajaan Negeri turut menawarkan latihan dan bimbingan mendidik anak-anak istimewa secara percuma.

Katanya, ia sebagai sistem sokongan kepada pengusaha melatih dan memberi pendidikan kepada anak-anak istimewa itu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri sedang dalam usaha mewujudkan Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak Istimewa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan pendidikan.

Sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di dua taska setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.

Pusat itu membolehkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa tidak perlu menghantar anak mereka ke pusat swasta atau jauh dari rumah.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap anak istimewa itu dan mahu mereka mampu berdikari mendepani cabaran hidup tanpa bergantung kepada ibu bapa atau orang sekeliling.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri lulus RM3 juta program EIP

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri komited meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pelaksanaan Program Intervensi Awal (EIP) kanak-kanak, pada tahun ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia membabitkan perbezaan sebanyak RM1.8 juta berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, program EIP itu bertujuan menyediakan pendidikan dan perkhidmatan terapi yang diperlukan oleh kanak-kanak keperluan khas seperti fisioterapi, occupational therapy, speech therapy dan hydritherapy.

“Jumlah peruntukan yang diluluskan terbahagi kepada dua kategori A dan B dimana kategori A bagi Institut EIP maksimum sejumlah RM100,000 manakala kategori B bagi Badan Kebajikan atau NGO maksimum RM10,000.

“Sebanyak 13 institut atau badan kebajikan berdaftar sudah menerima manfaat daripada peruntukan ini yang diberikan secara ‘one-off’,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, program itu banyak membantu institusi dan agensi berkenaan dalam menambahbaik keperluan dan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas untuk menjalani kehidupan seharian.

Oleh itu, Dr Siti Mariah berkata, melihat kepada keperluan dan keberkesanan program berkenaan, Kerajaan Negeri komited meneruskannya pada tahun ini dengan pemberian bantuan kewangan diberi kepada permohonan baru dari institusi layak serta turut mempertimbangkan permohonan kali kedua daripada institut yang pernah menerima bantuan kewangan EIP pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk permohonan kali kedua, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan meneliti laporan penggunaan peruntukan tahun 2017 dan akan mengesyorkan sejumlah bantuan kewangan tahun ini selaras dengan garis panduan permohonan peruntukan EIP maksimum RM50,000 untuk kategori A.

“Berdasarkan garis panduan sedia ada, tidak timbul sebarang tanggapan bahawa Kerajaan Negeri mengenepikan kelompok ini dengan pemotongan peruntukan EIP namun ia sudah dijelaskan bahawa peruntukan sudah ditetapkan RM100,000 pemberian kali pertama manakala RM50,000 kali kedua.

“Kerajaan Negeri percaya semua pihak yang terpilih memahami dan bersetuju dengan syarat ditetapkan dan kita mengalu-alukan pandangan daripada orang ramai untuk kebaikan dan kelancaran program ini,” katanya.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri berhasrat akan meneruskan program itu pada masa akan datang sekali gus meningkatkan aksessibiliti pencapaian pendidikan awal kanak-kanak dengan memberi peruntukan latihan kepada guru terlibat.

“Justeru, Kerajaan Negeri optimis supaya program ini terus dimanfaatkan oleh semua pihak dalam membantu masyarakat bagi memenuhi keperluan golongan orang kelainan upaya yang menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Lebih 140 kanak-kanak jalani saringan EIP

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 NOV: Lebih 140 kanak-kanak berpeluang mengikuti tujuh sesi ujian saringan Early Intervention Program (EIP) anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), sejak November 2016.

Ketua Pegawai Kewangannya, Zannifa Azura Ahmad berkata, program itu memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah membawa anak menjalani ujian, bagi mengenal pasti perkembangan mereka.

Katanya, ia adalah komitmen anak syarikat Kerajaan Negeri itu bagi memastikan agenda pendidikan Selangor tidak meminggirkan mana-mana golongan.

“Selain ujian saringan, ibu bapa, penjaga dan keluarga juga berpeluang mengikuti program khas untuk ibu bapa berkenaan teknik serta motivasi dalam mengendali anak yang memerlukan perhatian istimewa.

“Begitu juga golongan pengasuh yang banyak meluangkan masa bersama anak ini.

“Dengan adanya pendidikan awal, anak ini mampu mencapai banyak perkara hebat, ditambah sokongan mereka yang paling hampir terutama ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat kunjungan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Shamshida Taharin, di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

Selain sesi saringan, EIP turut menganjurkan bengkel Smart Parenting selain melahirkan beberapa program ‘spin off’ program dengan ibu bapa, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi kerajaan.

Turut dianjurkan program 1 Taska 1 Duta untuk menggalakkan sekurang-kurangnya satu pendidik mampu mengendalikan kanak-kanak istimewa di taska.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

#Selangor18: RM3.8 juta peruntukan agenda kebajikan EIP

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.8 juta untuk tempoh 2018 bagi pelaksanaan program kebajikan negeri.

Beliau berkata, ia meliputi pelaksanaan Early Intervention Programme (EIP) di bawah peruntukan RM3 juta untuk menyediakan pendidikan dan perkhidmatan tetapi yang diperlukan oleh kanak-kanak.

Katanya, ia merangkumi keperluan khas seperti fisioterapi, occupational therapy, speech therapy dan hydritherapy.

“Pelaksanaan program ini memberi manfaat kepada beberapa pusat intervensi awal termasuk Eden Firdaus Centre for Special Education yang diterajui pengarah dan penggiat filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan RM800,000 untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dan sukarelawan serta pembangunan dan pemberdayaan warga emas,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) akan diteruskan bagi tahun 2018 dengan peruntukan RM28 juta dengan tumpuan sama turut meliputi peruntukan di bawah TAWAS, sejak 10 tahun lalu.

“Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang dilaksanakan hampir 10 tahun berbanding ADAM50 yang baru lahir minggu lalu akan terus disemarakkan dengan peruntukan RM5 juta,” katanya.

Terdahulu, pelaksanaan SMUE adalah inisiatif berkebajikan yang mula diperkenalkan, sejak Ogos 2008.

Skim itu meliputi skim khairat kematian, sebagai menghargai warga emas, tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka.

Ia adalah pemberian percuma Kerajaan Selangor kepada warga emas dan OKU yang layak.

Apabila ahli meninggal dunia, penama yang berdaftar boleh lah menuntut dari Pusat Khidmat DUN di tempat mereka telah didaftarkan dan Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan khairat kematian atau manfaat sebanyak RM2,500.

Tujuan khairat kematian itu adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan urusan berkaitan dengan si mati seperti pembayaran keseluruhan atas sebahagian kos pengurusan jenazah dan pengkebumian, menyelesaikan sebahagian atau keseluruhan hutang si mati.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Salur RM3 juta laksana EIP

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 7 APRIL: Kerajaan Negeri menyalurkan RM3 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkaitan yang melaksanakan Program Intervensi Awal (EIP) di Selangor.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan itu disediakan bagi menghargai pihak berkenaan yang memahami kesukaran dan kekangan kewangan dihadapi dalam mendidik kanak-kanak istimewa.

“Kita mengagihkan peruntukan kepada NGO melaksanakan EIP kerana menyedari pelaksanaan program ini memerlukan perbelanjaan besar.

“Penyediaan pendidikan kepada kanak-kanak istimewa ini memerlukan program khas dan kepakaran tertentu membabitkan tenaga pakar,” katanya kepada media.

Terdahulu, Daroyah mengadakan lawatan kerja dan menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Persatuan Kebangsaan Austisme Malaysia (Nasom) di Teluk Pulai di sini.

WhatsApp Image 2017-04-06 at 1.19.51 PMNasom yang memiliki 70 pelajar adalah salah satu NGO tersenarai sebagai penerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri.

Peruntukan sama turut diserahkan kepada Akademi Autisme Insani di Taman Selayang Utama, Batu Caves.

EIP adalah pakej pendidikan merujuk kepada perkhidmatan diberikan kepada bayi atau kanak-kanak mempunyai ketidakupayaan seperti pendengaran, penglihatan, pembelajaran dan fizikal.

Semua ketidakupayaan dinyatakan memerlukan intervensi awal dan perlu dilaksanakan seawal kelahiran kanak-kanak istimewa itu.

-AA-