Categories
SELANGOR

MAIS: Geran lebih RM1.3 juta buat rumah perlindungan anak yatim

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 15 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyampaikan sumbangan geran kepada Rumah Perlindungan Al-Riqab (RPA) dan Rumah Kebajikan Perlindungan Anak Yatim, hari ini.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammad Adzib Mohd Isa berkata, sumbangan itu menggunakan peruntukan Asnaf Al-Riqab dan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Geran Sukuan ke-4 sebanyak RM914,180 diberikan kepada 16 buah rumah perlindungan Al-Riqab.

“Manakala sumbangan Geran Tahunan sebanyak RM315,000 diberikan kepada lapan buah Rumah Kebajikan Perlindungan Anak Yatim,” katanya ketika pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Dana NGO-i MAIS 2017, di sini.

Hadir sama, Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Dato’ Mohd Shukri Dahlan, Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Pada masa sama, MAIS turut menyampaikan sumbangan Bantuan Dana Rumah Kebajikan sebanyak RM120,000 membabitkan lima rumah kebajikan khusus untuk warga emas.