Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid Diraja Sultan Suleiman khazanah warisan negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 3 NOV: Masjid Diraja Sultan Suleiman dianggap sebagai salah satu bahan sejarah dan khazanah warisan negara yang perlu dikekalkan.

Justeru, kerja pemuliharaan bangunan masjid yang dibina pada 1932 ini mula dijalankan pada 10 Mac 2015 sebelum selesai pada 17 Oktober lalu dengan kos sebanyak RM12 juta.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, berkata kerja konservasi masjid itu dilakukan dengan beberapa kaedah yang disusun secara sistematik bagi mengekalkan keaslian seni bina asal masjid ini.

“Masjid Diraja Sultan Suleiman ini sungguh istimewa kerana menghidangkan rekabentuk dan senibina unik kerana ada yang menyatakan masjid ini mempunyai pengaruh campuran seni bina Islam Moorish dan Inggeris.

“Ada juga menyatakan masjid ini berkonsepkan Art Deco, mempunyai nilai sejarah dan latar belakang bermula 1932 serta mencipta indentitinya dalam melebarkan peranan asasnya sebagai institusi Islam selama 85 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Dokumen Penyerahan Masjid dan Majlis Tahlil Sempena Penyempurnaan Kerja Pemuliharaan Bangunan Masjid Diraja Sultan Suleiman, di sini, semalam.

Jelasnya, perlindungan dan pemuliharaan bangunan pentadbiran Islam dan masjid lama di Selangor wajar diberikan perhatian khusus dan perlu didokumentarikan supaya generasi baru mengetahui peranan dan sejarah bangunan terbabit dalam meletakkan Islam sebagai agama bertamadun.

Katanya, Kerajaan Negeri, JAIS, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Jabatan Warisan Negara akan meneruskan usaha mengenalpasti beberapa lagi bangunan pentadbiran Islam dan masjid lama di Selangor.

Katanya lagi, usaha perlindungan dan pemuliharaan ini tidak akan berjaya sekiranya tiada komitmen Kerajaan Negeri menyalurkan dana bagi membiayai kerja konservasi itu.

Terdahulu, majlis menandatangani dokumen penyerahan masjid disempurnakan sambil disaksikan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah.