Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan puas hati kerja pulihara Masjid Diraja Sultan Suleiman

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 3 NOV: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati dengan usaha dilakukan Kerajaan Negeri bagi mengekalkan keunikan dan keindahan Masjid Diraja Sultan Suleiman.

Baginda bertitah, seni warisan masjid itu perlu dikekalkan terutama sekali membabitkan rekabentuk asal dalaman dan luar masjid yang dibangunkan sejak 1932 itu.

Justeru titah baginda, rakyat disaran supaya dapat memanfaatkan pemuliharaan masjid itu dan mengimarahkannya sebaik mungkin sebagai pusat pembangunan ummah dan masyarakat setempat.

“Beta ingin menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada pentadbiran Kerajaan Negeri di atas kerjasama dan komitmen yang memungkinkan projek pemuliharaan Masjid Diraja Sultan Suleiman ini selesai dengan sempurna.

“Ini adalah kali pertama pemuliharaan besar-besaran dibuat ke atas masjid ini sejak ia dibina pada 1932.

“Beta berpuas hati dengan usaha-usaha dilakukan untuk mengekalkan ciri-ciri keunikan masjid ini. Walaupun ia sudah berusia lebih separuh abad, struktur bangunannya masih kukuh dan teguh,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam kenyataan sempena Majlis Perasmian Pemuliharaan Bangunan Masjid Diraja Sultan Suleiman, petang ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perkembangan itu, baginda turut berkenan menunaikan solat jumaat pertama di masjid itu selepas proses pasca pemuliharaan kerja-kerja konservasi dijalankan sejak 10 Mac 2015 lalu.

Sebelumnya, majlis penyerahan dokumen, replika kunci dan cokmar diadakan pada 2 November membabitkan pengurusan tertinggi masjid berkenaan.

Keseluruhan projek pemuliharaan melibatkan nilai pembelanjaan sebanyak RM12 juta yang siap sepenuhnya pada 17 Oktober lalu.

Masjid yang berusia 85 tahun itu boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa dan telah melalui beberapa proses pengubahsuaian pada 1950.

Terletak bersebelahan dengan Istana Alam Shah dan Kolej Islam Sultan Alam Shah, ia dulunya dikenali sebagai Istana Jemaah dan pernah diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak 10 Mei 2012.

Untuk rekod, masjid berkenaan pernah dijadikan masjid negeri sebelum pembangunan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, selesai.

Kini ia dimasyurkan sebagai Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid Diraja Sultan Suleiman khazanah warisan negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 3 NOV: Masjid Diraja Sultan Suleiman dianggap sebagai salah satu bahan sejarah dan khazanah warisan negara yang perlu dikekalkan.

Justeru, kerja pemuliharaan bangunan masjid yang dibina pada 1932 ini mula dijalankan pada 10 Mac 2015 sebelum selesai pada 17 Oktober lalu dengan kos sebanyak RM12 juta.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, berkata kerja konservasi masjid itu dilakukan dengan beberapa kaedah yang disusun secara sistematik bagi mengekalkan keaslian seni bina asal masjid ini.

“Masjid Diraja Sultan Suleiman ini sungguh istimewa kerana menghidangkan rekabentuk dan senibina unik kerana ada yang menyatakan masjid ini mempunyai pengaruh campuran seni bina Islam Moorish dan Inggeris.

“Ada juga menyatakan masjid ini berkonsepkan Art Deco, mempunyai nilai sejarah dan latar belakang bermula 1932 serta mencipta indentitinya dalam melebarkan peranan asasnya sebagai institusi Islam selama 85 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Dokumen Penyerahan Masjid dan Majlis Tahlil Sempena Penyempurnaan Kerja Pemuliharaan Bangunan Masjid Diraja Sultan Suleiman, di sini, semalam.

Jelasnya, perlindungan dan pemuliharaan bangunan pentadbiran Islam dan masjid lama di Selangor wajar diberikan perhatian khusus dan perlu didokumentarikan supaya generasi baru mengetahui peranan dan sejarah bangunan terbabit dalam meletakkan Islam sebagai agama bertamadun.

Katanya, Kerajaan Negeri, JAIS, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Jabatan Warisan Negara akan meneruskan usaha mengenalpasti beberapa lagi bangunan pentadbiran Islam dan masjid lama di Selangor.

Katanya lagi, usaha perlindungan dan pemuliharaan ini tidak akan berjaya sekiranya tiada komitmen Kerajaan Negeri menyalurkan dana bagi membiayai kerja konservasi itu.

Terdahulu, majlis menandatangani dokumen penyerahan masjid disempurnakan sambil disaksikan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah.