Categories
SELANGOR

MB kongsi ‘detik sukar’ siap Belanjawan 2018

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Memikul tanggungjawab sebagai Dato’ Menteri Besar di negeri bukan diterajui Barisan Nasional lebih mencabar terutama apabila terpaksa berurusan dengan isu di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dialami Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang terpaksa berhadapan kerenah pegawai tinggi persekutuan ketika beliau dan pasukannya bertungkus-lumus menyiapkan Belanjawan Selangor 2018.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, kesulitan mula timbul apabila pihaknya tidak mendapat kerjasama baik berhubung permintaannya menyambung khidmat Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman yang bersara, pada 3 Oktober lalu.

“Ketika merencanakan belanjawan, keadaannya semakin sukar kerana di saat hampir merumuskannya, Dato’ Noordin bersara, genap sebulan (belanjawan) sebelum dibentangkan.

“Saya minta (tempoh) dilanjutkan kerana kita sibuk menyiapkan belanjawan dan menghubungi Ketua Setiausaha Negara dua kali, selain mengutus surat rasmi tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, keadaan semakin sulit apabila Timbalan Pegawai Kewangan Negeri dan Bendahari Negeri secara tiba-tiba turut dipindahkan ke Putrajaya.

Katanya, tiga individu berkenaan penting dalam pentadbiran Kerajaan Negeri yang terbabit secara langsung dalam menggubal belanjawan tetapi tidak bersama, ketika saat akhir.

“Sehinggalah tiga hari sebelum saya bentangkan (belanjawan), baru Dato’ Noordin dilanjutkan perkhidmatannya tetapi tiga bulan sahaja.

“Tetapi, saya bersyukur kerana Selangor memiliki pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang cukup profesional sehingga berjaya membantu Kerajaan Negeri menyiapkan belanjawan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Mohamed Azmin turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus bekerja sehingga lewat malam bagi menyiapkan Belanjawan Selangor 2018.