Categories
PBT SELANGOR

MDKS keluarkan 316 kompaun Ops Gajah

SHAH ALAM, 11 NOV: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengeluarkan 316 kompaun dalam Operasi Lesen (Ops Gajah) Fasa 1 dan 2 sepanjang Ogos hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MDKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, kompaun dikeluarkan selepas pemeriksaan membabitkan 5,862 premis di kawasan pentadbiran MDKS.

“Ia membabitkan kesalahan tidak memiliki lesen perniagaan, menimbulkan halangan dan iklan tanpa permit.

“Operasi ini dilakukan secara menyeluruh dari semua aspek melibatkan premis perniagaan, kilang, premis sewaan majlis, pasar basah dan sebagainya,” katanya yang dipetik laporan akhbar Sinar Harian.

Menurutnya, Ops Gajah dilaksanakan secara tahunan sementara tindakan kompaun dan amaran dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, pemegang lesen perniagaan di premis MDKS disarankan supaya memperbaharui lesen perniagaan tiga bulan sebelum tamat tempoh.

Mohamad Yusli berkata, bayaran fi gandaan tidak melebihi 10 peratus daripada fi lesen boleh dikenakan sekiranya gagal memperbaharui kurang tiga bulan daripada tempoh tamat lesen.

=EZY=