Categories
SELANGOR

MPAJ utama kemudahan OKU dalam pembangunan

 

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terus mempeduli aspek kebajikan dan keperluan orang kelainan upaya (OKU) dengan meletakkan syarat kemudahan bagi golongan itu dalam pelan pembangunannya.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, perkara itu dilaksanakan memandangkan OKU juga berhak menikmati peluang dan ruang disediakan MPAJ.

“Kita sedar bahawa ketidakupayaan bukan semata-mata disebabkan kefungsian individu yang terbatas tetapi merangkumi kekurangan kemudahan disediakan yang menjadi penghalang penyertaan OKU dalam masyarakat.

“Isu mengenainya telah mengalami anjakan paradigma daripada pendekatan berasaskan kebajikan kepada hak.

“MPAJ sangat mengalu-alukan keberadaan OKU dalam masyarakat agar dapat merasai dan menerima kemudahan disediakan khas untuk mereka,” katanya sempena Sukaneka Sekolah Khas Antara Sekolah Daerah Hulu Langat dan Gombak MPAJ, di sini, semalam.

Berhubung penganjuran program itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Belia dan Masyarakat MPAJ kerana menganjurkannya.

Katanya, program kali ketiga itu memberi pendedahan kepada OKU melakukan aktiviti sukan dan sosial selain mencungkil bakat baru juga megeratkan silaturrahim antara MPAJ dengan pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar sekolah khas.

“Ia adalah seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menghargai golongan OKU dan bagi mencapai hasrat itu, MPAJ sentiasa merangka serta melaksana pelbagai program khusus untuk golongan ini,” katanya.

Berikutan usaha berterusan itu, beliau berkata, MPAJ menerima penghargaan iaitu anugerah pengiktirafan PBT Prihatin OKU bagi kategori Majlis Perbandaran sempena Bulan Kebajikan Negara 2017 pada September lalu.