Categories
SELANGOR

Peguam Syarie disaran jadi sahabat mahkamah

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 21 NOV: Peguam Syarie yang baharu dilantik diingatkan supaya dapat berfungsi sebagai sahabat mahkamah dalam memartabatkan perundangan syariah.

Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, Peguam Syarie yang dilantik kini mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu masyarakat mendapatkan keadilan sewajarnya.

“Suka saya mengingatkan Peguam Syarie baharu ini dapat membantu mahkamah menegakkan keadilan serta mewakili klien masing-masing dengan penuh amanah dan beretika.

“Difahamkan dalam tempoh terdekat, peguam-peguam syarie baharu ini wajib menghadiri Kursus Etika Peguam Syarie anjuran Jawatankuasa Peguam Syarie Selangor dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Pengisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor 2017 di Dewan Muktamar, Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS).

Seramai 29 orang menerima pentauliahan rasmi selaku Peguam Syarie Negeri Selangor selepas pengajian Diploma Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam, latihan dalam kamar sembilan bulan serta penyelia beramal lebih tujuh tahun.

Mohamad Adzib turut menyeru semua peguam supaya dapat bersama-sama membangunkan institusi perundangan di Selangor dengan bijaksana.

“Kita sebagai ejen yang dipertanggungjawabkan harus membersihkan segala tohmahan, ancaman dan cabaran dihadapi institusi Islam dan Syariah,” katanya.

=EZY=