Categories
PBT SELANGOR

Pelajar wanita ungguli UDPC anjuran MBPJ

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 7 NOV: Pertandingan Produk Rekaan Bentuk Sejagat 2017 – Universal Design Product Competition (UDPC) diperkenal Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam usaha memberi pendedahan rekaan bentuk sejagat kepada golongan muda.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, UDPC bertujuan mencungkil bakat, idea dan kreativiti dalam kalangan pelajar universiti serta kolej untuk menghasilkan produk juga inovasi bagi golongan kurang bernasib baik.

“Penganjuran kali pertama dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kali ini disertai 51 pelajar,” katanya.

Pemenang tempat pertama UDPC ialah Nur Elyani Fatihah Zabidi dengan produk ‘Solo Cutting Board for Single handed’ (RM1,500), diikuti tempat kedua, Neelam Shaheeda Abd Latiff – Spittle Bin (RM1,000) dan ketiga, Siti Nur Anis Roslan – Arthera (RM 500).

UDPC dianjur bersempena Majlis Penganugerahan Reka Bentuk Sejagat – Universal Design Award (UDA) yang diadakan di Dewan Sivik MBPJ, Seksyen 52, baru-baru ini.

Memasuki tahun kedua, UDA bertujuan memberi kesedaran dan galakan kepada pemaju, jururancang bandar, arkitek, pemilik bangunan dan semua pihak untuk menyediakan persekitaran inklusif, selamat dan selesa untuk semua.

Antara penerima anugerah UDA adalah Surian Tower bagi anugerah ‘Accessibility and Connectivity’ (RM 5,000), The Starling Mall – ‘User Friendly Building’ (RM5,000), Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – ‘Most Accommodative’ ((RM4,000), One Avenue Hotel -‘Most Improved’ (RM4,000), Wisma Perkeso – ‘Most Improved’ dan Tropicana Office Tower – ‘Potential Effort’ (RM2,000).

Sejak 2016, MBPJ memperuntukkan RM100,000 sebagai bajet khusus untuk pelaksanaan majlis anugerah itu.