Categories
SELANGOR

Selangor fokus 10 teras upaya belia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri memfokuskan 10 teras pembangunan dalam usaha mengangkat potensi belia yang aktif di Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, teras berkenaan sudah dilaksanakan menerusi gerak kerja Bahagian Pembangunan Belia Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

“Lebih 200 pemimpin generasi dan belia yang dilantik Kerajaan Negeri bagi melaksanakan teras program pembangunan itu.

“Untuk rekod, sejak 2009 sehingga 2013, 70 hingga 80 peratus program dilaksanakan tetumpu kepada program pembangunan sukan dan kecergasan.

“Namun, program ini diperluas menerusi 10 teras utama dan kita telah mendapati program belia itu kini lebih seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Tiew Way Keng di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Terdahulu, 10 teras utama berkenaan melibatkan program antaranya keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan organisasi dan kemasyarakatan.

Selain itu aspek program pembangunan jaringan kesukarelaan, kebudayaan dan kesenian, kesejahteraan dan kesihatan, sukan dan kecergasan serta agama dan kepercayaan.