Categories
SELANGOR

Pembangunan ISWMC atasi masalah pelupusan sisa pepejal

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri melaksanakan pembangunan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bagi penambahbaikan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, pelaksanaannya berdasarkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 18 Mei tahun lalu dengan anak syarkat Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad (WHB) membangunkannya bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) Kuala Selangor.

“ISWMC adalah sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal menyeluruh merangkumi fasiliti seperti Loji Waste To Energy (WTE), Loji Kitar Semula, Loji Pencemaran Anerobik (AD), Loji Kompos, Loji Kitar Semula Sisa Binaan serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan.

“Dengan adanya ISWMC, sisa pepejal dihasilkan di Selangor bukan hanya dilupuskan tetapi menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan sebagainya yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi negeri,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN), Dr Idris Ahmad dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Berhubung kemudahan dan jangka hayat tapak pelupusan sampah, beliau menjelaskan, terdapat sembilan tapak pelupusan sisa pepejal beroperasi ketika ini dengan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil (TPSLD) yang pertama pada 2004 sehingga 2029.

Tambahnya, TPSLD dengan keluasan 140 ekar berkemampuan menampung kapasiti sisa pepejal sebanyak 250 tan sehari.

“Tapak pelupusan lain antaranya TPSJ mula beroperasi pada 2007 hingga 2027 berkeluasan 293 ekar dengan kemampuan kapasiti 3,100 tan sehari, Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Duabelas dari 2010 hingga 2027 (160 ekar) (1,600 tan sehari) dan Tapak Pelupusan Terbuka Pancang Bedena dari 2016 hingga 2026 (25 ekar) (80 tan sehari).

“Manakala yang lain seperti Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar dari tahun lalu hingga 2047 (400 ekar) (400 tan sehari), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang mulai 2007 hingga 2022 (27 ekar) (290 tan sehari) dan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Kertas dari 2011 hingga 2018 (14 ekar) (350 tan sehari),” katanya.

Semantara dua tapak lagi, katanya, Tapak Pelupusan Sisa Lengai Pulau Ketam yang mula beroperasi 2015 hingga 2020 seluas 0.4 ekar dan kapasiti dua tan seminggu dan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Misi Restu Sdn Bhd bermula 2016 hingga 2030 (42 ekar) (270 tan sehari).

=EZY=