Categories
SELANGOR

Pembangkang alu langkah bantu sekolah tahfiz

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Pembangkang Selangor mengalukan langkah Kerajaan Negeri membantu sekolah tahfiz dalam pelbagai bentuk termasuk menaik taraf penyelengaraan dan pembangunan institusi terbabit.

Perkara itu disampaikan Ahli Dewan Negeri Dengkil, Shahrum Mohd Sharif ketika sesi soalan lisan, pada hari keempat persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

“Saya mengalukan langkah Kerajaan Negeri membantu sekolah maahad tahfiz tetapi ingin bertanya sama ada Kerajaan Negeri ada menyediakan peruntukan membantu sekolah tahfiz ditimpa bencana seperti kebakaran dan lain-lain,” katanya.

Menjawab soalan terbabit, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri memperuntukan RM9 juta bagi membantu sekolah tahfiz.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM9 juta dan menerima banyak permohonan untuk dipertimbangkan.

“Melalui peruntukan disediakan, Kerajaan Negeri sedia membantu, namun bukan keseluruhan tetapi sebahagian daripada kos terbabit,” katanya.