Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Pindah kawasan selamat jika hujan lebat lebih dua jam

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 8 NOV: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) sudah mengeluarkan amaran hujan lebat, di negeri itu, pada jam 2 pagi tadi.

Ketua Penolong Setiausaha UPBN, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, melalui ramalan jadual air pasang surut juga menunjukkan bacaan lebih kurang 5.4 meter, pada 7 November lalu.

“Kebanyakan pintu air juga ditutup ekoran masalah itu. Cuaca hujan lebat dan angin kencang ini akan menyebabkan air perparitan perbandaran tidak dapat keluar ke laut.

“Justeru, akan berlaku banjir kilat kecil. Bagaimanapun, semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah diarahkan membuka pusat operasi 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di Yayasan Aman, di sini, hari ini.

Terdahulu, beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dinaiki air selepas hujan lebat yang melanda negeri itu, pada 6 November lalu.

Beliau berkata, penduduk juga diminta mengambil langkah awal jika hujan lebat melebihi dua jam, di kawasan masing-masing.

“Penduduk boleh menyemak di mobile apps Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengetahui lokasi pusat pemindahan terdekat.

“Ambil langkah segera dengan berpindah ke kawasan selamat jika hujan lebat melebihi dua jam. Bagi UPBN, kita sudah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.