Categories
SELANGOR SUKANKINI

Pembangunan sukan lancar, PLD aktif di seluruh daerah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 NOV: Program pembangunan sukan dilaksanakan Kerajaan Negeri terus giat digerakkan melalui Pusat Latihan Daerah (PLD) diwujudkan di seluruh daerah di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata pembangunan sukan berteraskan konsep 2I (Incorporate dan Integrate) melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor itu menunjukkan progres baik dengan kerjasama semua pihak.

“Sangat baik dan kita memastikan pembabitan aktif semua termasuk Majlis Sukan Daerah dengan mewujudkan banyak PLD bagi memenuhi keperluan ke arah melahirkan bakat baru.

“Selain Pusat Latihan Negeri (PLN) di beberapa tempat, kita memberi tumpuan kepada PLD sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini sudah ada lebih kurang 40 hingga 45 PLD di Selangor untuk latihan pelbagai sukan sedia ada,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan satu ke dua tahun lagi bagi meluaskannya dengan pembabitan pihak swasta dan yang lain untuk ia bergerak menjadi lebih baik.

“Setakat ini, ia masih di bawah agensi Kerajaan Negeri dan kita harap dapat menarik pihak swasta yang selama ini bekerjasama di peringkat negeri untuk turut serta di peringkat daerah bagi mencapai hasrat ini,” katanya.

Berhubung majlis makan malam dan penyampaian hadiah 2017 anjuran Persatuan Tenis Selangor (STA), Amirudin berkata, ia program baik dan persatuan itu menunjukkan komitmen bagi kemajuan tenis di Selangor.

“Saya menghargai usaha STA melahirkan pelapis muda berbakat dengan ia terbukti apabila empat pemain Selangor mewakili negara dalam Sukan Sea lalu dengan salah seorang berjaya menyumbang pingat gangsa,” katanya.

=EZY=