Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia X beri amaran waspada WhatsApp palsu berkait bayaran

KUALA LUMPUR, 27 JAN: AirAsia X memberi amaran kepada orang awam mengenai mesej penipuan melalui aplikasi WhatsApp yang melibatkan AirAsia X atau syarikat berkaitannya, meminta penerima untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang dikatakan milik salah sebuah syarikat pengurusan kredit.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia X ingin menekankan bahawa syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.

“AirAsia X tidak berkomunikasi dengan para tetamunya melalui mana-mana aplikasi sembang seperti WhatsApp,” katanya.

Menurutnya, AirAsia X dan AirAsia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan itu yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat.

Bagaimanapun katanya, AirAsia X tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama AirAsia X atau Airasia untuk melakukan penipuan atau kecurian identiti.

Tambahnya, orang ramai boleh berhubung dengan AirAsia melalui saluran komunikasi rasminya di Twitter di www.twitter.com/airasia, Instagram di www.instagram.com/airasia dan Facebook di www.facebook.com/airasia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

AirAsia X distruktur, pastikan terus operasi

KUALA LUMPUR, 7 OKT: AirAsia X Bhd tampil dengan pelan penstrukturan semula yang membolehkan syarikat penerbangan itu beroperasi kembali di tengah-tengah sekatan perjalanan global berpunca daripada pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail berkata AirAsia X dan banyak syarikat penerbangan lain sedang bergelut dalam tempoh pandemik ini.

“Ini merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi mana-mana syarikat penerbangan sehingga kami membatalkan kesemua jadual penerbangan, melaksanakan pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja buat kali pertama dalam sejarah.

“Bagaimanapun, kami tetap komited kepada tetamu kami, Allstars, rakan niaga dan pemegang berkepentingan bagi memastikan kami dapat membina syarikat penerbangan jarak jauh yang berdaya maju serta mampan. Demi kelangsungan hidup syarikat penerbangan ini, pelan penstrukturan semula yang dicadangkan adalah satu-satunya pilihan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Langkah yang sama mungkin dikekalkan semasa proses penstrukturan semula, tetapi tumpuan sebenar adalah untuk mengekalkan seberapa banyak pekerjaan.

“Kami mempunyai asas kos yang rendah, kami berada di bahagian pasaran yang bersesuaian dan banyak pasaran utama kami berada di zon hijau yang berkemungkinan akan dibuka semula terlebih dahulu.

“Kami mempunyai strategi pemulihan yang mantap, dan dengan sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan kami, kami akan mengatasi semua cabaran dan menjadi lebih kukuh,” kata Benyamin.

Syarikat penerbangan tambang rendah untuk jarak jauh itu, yang merupakan syarikat sekutu kepada AirAsia Group Bhd, berkata langkah penstrukturan semula itu akan merangkumi pelantikan Datuk Lim Kian Onn sebagai Timbalan Pengerusi bagi mengetuai inisiatif penstrukturan semula dan memudahkan suntikan ekuiti yang baharu.

Lim, seorang akauntan bertauliah, merupakan seorang jurubank pelaburan sebelum beliau menjadi ahli Lembaga Pengarah AirAsia X pada 2012.

AirAsia X, yang menanggung kerugian bersih sebanyak RM650.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, mencatatkan kerugian belum diaudit berjumlah RM854.94 juta pada separuh pertama tahun ini.

Ia menghadapi kekangan mudah tunai yang agak teruk dan keingkaran terhadap beberapa komitmen kontrak berpotensi untuk pembubaran syarikat penerbangan itu.

“Penstrukturan semula hutang dan rundingan semula obligasi kewangannya adalah prasyarat bagi sebarang penjanaan ekuiti baharu yang diperlukan untuk memulakan semula syarikat penerbangan itu,” katanya.

Cadangan pelan penstrukturan semula, jika diluluskan, akan menjamin kelangsungan AirAsia X.

“Pelan penstrukturan semula yang dicadangkan termasuk pengwujudan kontrak baharu, perjanjian dan/atau pengaturan baharu bertujuan untuk menyesuaikan saiz operasi dan obligasi kewangan kumpulan, yang amat penting kepada kewujudan berterusan kumpulan dalam landskap penerbangan,” katanya.

Ia mengadakan perbincangan dengan semua pemiutang utama sejak dua bulan lepas dan mereka memberikan sokongan padu untuk kesinambungan perniagaan syarikat penerbangan tersebut.

Selama 13 tahun, AirAsia X menyampaikan perjalanan penerbangan yang berpatutan dan mewujudkan pekerjaan dalam sektor penerbangan, pelancongan serta industri yang berkaitan, dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Airasia X tawar sejuta tempat duduk promosi

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka AirAsia menawarkan pelanggan satu juta tempat duduk berharga sifar bagi perjalanan ke destinasi jarak jauh seperti Australia, Jepun, Korea, Taiwan dan India.

Tambang promosi yang ditawarkan oleh syarikat sekutunya, AirAsia X adalah percuma, tidak termasuk cukai dan yuran, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Promosi ini merangkumi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne (Avalon), Gold Coast, Perth, Sydney, Fukuoka, Tokyo (Narita), Seoul, Busan, Taipei dan Ahmedabad.

Pelanggan mempunyai 72 jam untuk menempah penerbangan mereka dengan melawat airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih AirAsia bermula pada Isnin (24 Februari) bagi perjalanan antara 1 Mac 2020 dan 31 Oktober 2020.

Ketua Kumpulan Komersil AirAsia, Amanda Woo berkata ini merupakan kali pertama syarikat penerbangan itu menawarkan tempat duduk sifar membabitkan destinasi jarak jauh.

“Bukan sahaja terdapat tempat duduk promosi yang sedang dijual, kami juga mengadakan lanjutan tempoh perjalanan dari Mac hingga Oktober bagi menarik lebih ramai lagi penumpang,” katanya lagi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Airasia X optimis tembusi Eropah

PARIS, 18 JUN: AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia memperkenalkan pesawat Airbus A330neo miliknya yang juga pesawat pertama dalam generasi baharu penerbangan jarak jauh, pada acara edisi ke-53 International Paris Air Show, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Nadda Buranasiri berkata, kehadiran pesawat A330neo itu akan meningkatkan lagi kemampuan syarikat itu menawarkan destinasi baharu termasuk ke Eropah.

“Penerbangan terus ke Eropah dan Amerika Syarikat misalnya, kini boleh ditawarkan. Kami juga sedang mengusahakan banyak rangkaian menarik serta perancangan produk bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang yang boleh ditawarkan oleh khidmat jarak jauh dan kecekapan kos yang ketara dan akan diumumkan kelak,” katanya pada majlis memperkenalkan pesawat itu.

Buranasiri berkata, pesawat itu akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok, Thailand dan dapat membantu rancangan pengembangan kemudahan dan rangkaian ke pasaran utama seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan.

“Ini merupakan pencapaian bermakna kepada industri penerbangan dan terutamanya untuk para pelanggan kami. Barisan pesawat baharu ini akan merevolusi pasaran pengembaraan udara jarak jauh,” katanya.

AirAsia pada masa ini memiliki 66 pesawat menerusi tempahan langsung serta satu perjanjian pembelian tambahan 34 buah pesawat dan kehadiran A330neo dijangka meningkatkan pengalaman pelanggan dengan ciri-ciri reka bentuk terkini serta modifikasi baharu bagi menjadikan perjalanan jarak sederhana hingga jarak jauh lebih selesa berbanding sebelum ini.

Pertunjukan udara Paris yang bermula hari ini sehingga 23 Jun, 2019, diadakan di pusat pameran Le Bourget dekat sini.

Acara itu merupakan pameran aeroangkasa terbesar dunia dan disertai seramai 2,400 pempamer dari 50 negara yang mengetengahkan sebanyak 150 buah pesawat.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Saham AirAsia X paling aktif

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Saham AirAsia X Bhd (AAX) meningkat dan paling aktif dalam dagangan awal hari ini, susulan prestasi kewangan 2017 yang kukuh, lapor BERNAMA.

Keuntungan bersih syarikat penerbangan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, melonjak kepada RM98.89 juta berbanding RM44.84 juta pada 2016, manakala hasil meningkat kepada RM4.56 bilion berbanding RM3.90 bilion sebelumnya.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih meningkat kepada RM84.41 juta berbanding RM39.01 juta sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1.22 bilion berbanding RM1.17 bilion.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, AAX berkata pendapatan syarikat itu disokong oleh pertumbuhan 12 peratus jumlah penumpang. Pendapatan sampingan bagi setiap penumpang meningkat empat peratus kepada RM142 tahun ke tahun.

“Faktor muatan tempat duduk mencatatkan 83 peratus iaitu dua mata peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Berdasarkan trend tempahan semasa, ia berkata muatan dan tambang purata adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Pada jam 9.47 pagi, saham AAX meningkat dua sen kepada 42.5 sen dengan 92.68 juta unit diurus niaga.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Pendapatan AirAsia X melonjak kepada RM1.12 bilion

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pendapatan AirAsia X Bhd meningkat kepada RM1.12 bilion berbanding RM982.4 juta, dipacu pertumbuhan 22 peratus dalam pendapatan penerbangan berjadual dan 29 peratus pendapatan sampingan.

Peningkatan itu dicatat disebalik kerugian sebelum cukai RM8.63 juta, pada suku ketiga berakhir 30 September 2017, berbanding RM12.01 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada BERNAMA, syarikat penerbangan itu berkata, pada suku di bawah kajian, jumlah penumpang naik 23 peratus tahun ke tahun, melepasi pertumbuhan kapasiti tempat duduk sekilometer (ASK) sebanyak 18 peratus tahun ke tahun, membolehkan faktor muatan berkembang kepada 79 peratus.

“Pendapatan setiap ASK susut tiga peratus tahun ke tahun kepada 12.32 sen dari 12.70 sen ekoran pertambahan kapasiti ke atas laluan sedia ada dan tambang promosi kepada laluan baharu.

“Kos bagi setiap ASK naik enam peratus tahun ke tahun, ekoran peruntukan untuk hutang ragu serta penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, tempahan untuk suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan melepasi tahun lalu, menunjukkan permintaan untuk terbang kekal kukuh.

“Ini bukti jelas pengguna lebih mengutamakan perbelanjaan ke atas penerbangan dan percutian berbanding perkara tidak penting lain.

“Kami yakin boleh mengakhiri 2017 dengan positif dan suku keempat 2017 akan menjadi suku yang baik untuk kami,” katanya.