Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor raih Anugerah Majikan Pilihan MIHRM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 NOV: Kumpulan Perangsang Selangor (Perangsang Selangor) dianugerahkan Silver Award, Employer Of Choice (Anugerah Majikan Pilihan bagi kategori sektor swasta di Malaysia Human Resource Awards (MIHRM), pada 9 November lalu.

Pengiktirafan itu diberikan atas kejayaan dan komitmen anak syarikat Kerajaan Negeri terbabit memainkan peranan merangkumi perancangan aspek sumber kemanusiaan kakitangannya.

Ketua Pegawai Esekutif Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan berkata, pengiktirafan itu menjadi sumbang saran kepada organisasi berkenaan untuk terus berdaya saing.

“Anugerah ini menandakan kita mempunyai pendekatan berkesan dan sistematik di Malaysia menguruskan pekerja kami.

“Kami percaya dalam mewujudkan nilai mampan untuk syarikat, amalan budaya berprestasi tinggi amat penting dalam mengutamakan pembangunan modal insan pekerja,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, syarikat itu konsisten memberi peluang kepada umum untuk menyumbang kepada modal pembangunan insan menerusi tawaran khidmat tenaga kerja, di syarikat itu.

“Sejak 2016, kami berjaya menyelesaikan sejumlah pengambil alihan baru dan berhasrat untuk
mengembangkan pelaburan ini dan menjadikannya sebagai salah satu prospek pasaran.

“Untuk mencapainya, kita perlu memberi peluang kepada tenaga luar dan dalam bagi melebar jaringan perkhidmatan subsidiari,” katanya.

MIHRM mengiktiraf komitmen berterusan oleh organisasi dan perbadanan untuk pembangunan bakat manusia melalui penjajaran dan pencapaian strategi sumber manusia.

Ia turut menumpukan pembangunan kepimpinan, pengurusan prestasi, progresif dan dasar pengurusan sumber manusia dinamik, pembaharuan strategik kerajaan serta pelaksanaan aplikasi sumber manusia.