Categories
SELANGOR

Dewan atas tanah rizab pendidikan dibina sebelum 2008

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Dewan orang ramai di atas tanah rizab pendidikan, di Jalan 19 Taman Putra, Ampang dibina sebelum Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, bangunan itu dibina penduduk setempat sebagai balai raya sebelum diambil alih Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), pada 2009.

“Pengambilalihan ini selaras keputusan Majlis Mesyuarat Negeri Bilangan 15/2008 bertarikh 18 Jun 2008 memutuskan mengambil alih mana-mana bangunan yang dibina di atas rizab kerajaan atau kawasan lapang diurus tadbir pihak majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Tiew Way Keng pada sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Hian Wah berkata, ketika ini, MPAJ sedang menyelaras pewartaan semula tapak bangunan itu daripada rizab pendidikan kepada kemudahan awam.