Categories
SELANGOR

861 unit rumah mampu milik diproses untuk pemilikan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 861 unit rumah mampu milik dengan kos RM123.14 juta diproses untuk pemilikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), sehingga kini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, 220 unit rumah sedia ada disewakan dengan kadar RM550 ke RM650 sebulan, manakala 111 unit lagi dijangka siap untuk disewakan, hujung tahun ini.

“Sementara baki 530 unit rumah dijangka dapat disiapkan untuk sewaan mulai 2018 hingga 2020.

“Pelaksanaannya dibuat dengan kerjasama syarikat Perumahan dan Hartanah Sdn Bhd (PHSSB) yang dilantik sebagai ejen pengurusan bagi melancarkan proses berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi berkenaan Skim Smart Sewa dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Iskandar berkata, setiap penyewa akan menerima pulangan bayaran sewa sekurang-kurangnya RM10,000 hingga RM12,000 selepas tempoh lima tahun dengan jumlah pulangan RM9.5 juta kepada penerima bagi membolehkan keluarga terbabit memiliki kediaman baharu.