Categories
SELANGOR

Pertemuan penduduk, pemimpin & KEV positif

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 NOV: Satu lawatan tapak ke Stesen Janakuasa Kapar Energy Venture (KEV) akan dilakukan dalam masa terdekat bagi melihat sendiri keperluan perlu dilakukan terhadap kolam arang batu itu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, dalam pertemuan hampir tiga jam melibatkan semua agensi utama semalam memperlihatkan respon positif yang memberi kelebihan pada kedua-dua belah pihak.

“Sebelum ini penduduk setempat terutamanya di Kampung Sungai Serdang mengadu isu pencemaran abu sisa buangan. Kegusaran penduduk tahap keselamatan dan kesihatan mereka sekeluarga terdedah dengan sisa buangan kolam arang batu semakin hari semakin tinggi mempunyai asas dan mendapat perhatian serius daripada KEV.

“Terdapat beberapa aduan diterima penduduk sebelum ini, KEV memaklumkan pasukan mereka akan dikerahkan terus bagi membuat pemeriksaan.

“Pantauan berterusan juga dilaksanakan seminggu sekali di beberapa stesen pemantauan bagi memastikan tahap udara dan persekitaran tidak memberi mudarat kepada masyarakat sekitar,” katanya menerusi kenyataan.

Antara agensi hadir dalam pertemuan itu adalah KEV, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah Dan Tanah Klang, Majlis Perbandaran Klang bersama Badan Bertindak Sungai Serdang dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) .

Bagaimanapun JAS melaporkan hasil pantauan berterusan, KEV mengikuti peraturan ditetapkan dan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan syarikat janakuasa tersebut yang akhirnya mampu merisikokan masyarakat sekitar.

“Komunikasi harmoni dua hala berterusan menjadi kunci jawapan permasalahan timbul ini. Maklumat tepat tidak sampai kepada penduduk pasti menyebabkan keresahan bakal menimbulkan pelbagai tanggapan negatif,” katanya.

=EZY=