Categories
SELANGOR

Sedih bercampur gembira terima pentauliahan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 NOV: Perasaan sedih bercampur gembira dirasai Noor Hanim Mohd Ghazali ketika menerima pentauliahan sebagai Peguam Syarie, berikutan kehilangan anak keduanya selepas 11 hari dilahirkan pada April lalu.

Noor Hanim, 29, yang baru ditauliahkan berkata, selepas melahirkan anak pada April, dia menerima panggilan temuduga bagi pentauliahan sewaktu berpantang pada Mei lalu.

“Saya melahirkan anak kedua April lalu dan mendapat panggilan temuduga pada bulan Mei, tetapi anak saya meninggal dunia ketika berusia 11 hari kerana jangkitan kuman.

“Bagaimanapun, saya cekalkan diri dan kawal emosi ketika menghadiri temuduga tersebut kerana bidang pekerjaan sebagai peguam syarie ini turut bermain dengan emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Selangor 2017 di Dewan Muktamar, Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS), semalam.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Mohammad Adib Hussain dan Ketua Pendaftar JAKESS, Noor Huda Roslan.

Noor Hanim berkata, walaupun terdapat kesedihan terpaksa ditanggung sebelum ditauliahkan, tetapi ada kejayaan lebih manis menunggu di sebaliknya.

“Saya memilih kerjaya peguam kerana mahu menolong masyarakat pada masa kini dilihat kurang celik dengan ilmu syariah maka inilah tanggungjawab saya membantu mereka,” katanya.

Noor Hanim adalah antara 29 peguam syarie mendapat pentauliahan pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Mohd Adib berkata, JAKESS menerima banyak permohonan untuk pentauliahan peguam syarie di Selangor.

“Setakat ini terdapat kira-kira 250 lebih peguam syarie yang aktif di seluruh Selangor.

“Diharapkan, peguam baharu ditauliahkan ini dapat menjalankan tugas dengan amanah dan tidak melanggar etika ditetapkan agar undang-undang syariah dilihat sebagai undang-undang adil dan terbaik,” katanya.

=EZY=