Categories
SELANGOR

Pertimbang kenderaan elektrik kenderaan rasmi kerajaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan supaya kenderaan rasmi Exco dan Jabatan Kerajaan Negeri menggunakan kenderaan elektrik bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, bagaimanapun berkata langkah itu hanya boleh dilaksanakan apabila tiba masa kenderaan sedia ada perlu diluputkan.

“Ketika ini kita belum sampai tahap hendak memperbaharui kereta-kereta rasmi tersebut.

“Kita perlu tunggu masa sehingga kereta sedia ada perlu diluputkan,” katanya ketika sesi soalan lisan pada hari ke-4 Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sebelum itu, ketika menyentuh usaha Kerajaan Negeri memelihara alam sekitar, Elizabeth Wong berkata, Kerajaan Negeri telah mengadakan pelbagai program sama ada melibatkan pihak Kerajaan Negeri sendiri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang ramai.

Dalam Belanjawan Selangor 2018, Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018 dengan peruntukan RM2 juta.

Setakat ini, terdapat 109 unit pengecas kenderaan elektrik di 88 lokasi di seluruh Selangor.

Sementara 33 program berteraskan teknologi hijau dengan peruntukan sebanyak RM 1.37 juta telah dilaksanakan melibatkan pemasangan bumbung solar di bangunan, pemasangan Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) dan penyediaan laluan basikal bagi menjayakan inisiatif rendah karbon.