Categories
SELANGOR

Peruntuk RM9.48 juta baiki infra luar bandar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV : Kerajaan Negeri membelanjakan RM9.48 juta bagi tujuan pembaikan dan pembangunan infrastruktur kemudahan awam luar bandar bagi tempoh sehingga 31 Oktober lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, 184 projek sudah dilaksanakan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, pembangunan melibatkan pembaikan kemudahan dewan dan balairaya di kampung tradisi dan kampung baru seluruh negeri.

“Bagi daerah Petaling, RM604,389 diperuntuntukkan untuk pembaikan sembilan projek dan di daerah Klang peruntukan sebanyak RM1.28 juta melibatkan 13 projek.

“Sementara itu, bagi daerah Gombak, lebih RM813,000 disalurkan untuk pembaikan 20 projek dan daerah Hulu Langat sebanyak 15 projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1,08 juta.

“Di Sepang pula melibatkan 28 projek menerusi peruntukan RM2.1 juta, Kuala Langat sebanyak 22 projek dengan peruntukan RM863.981 dan Hulu Selangor sebanyak 25 projek menerusi peruntukan RM974,302.

“Sementara itu, bagi Sabak Bernam menerusi peruntukan RM789.016 membabitkan 41 pembangunan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan seiring pembangunan dinikmati kawasan bandar di Selangor.

Beliau berkata, komitmen itu direalisasikan menerusi pengumuman Belanjawan 2018 oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada 3 November lalu.

Untuk rekod, RM15 juta diumumkan Dato’ Menteri Besar berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM10 juta.

=EZY=