Categories
NASIONAL

Pihak berkuasa Malaysia anggap 1MDB bahan lawak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 NOV: Pihak berkuasa negara ini tidak mempunyai kesungguhan secara konsisten untuk menyiasat kes penyelewengan kewangan negara membabitkan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata demikian merujuk komitmen pihak berkuasa mengendalikan kes itu, di peringkat Putrajaya.

Katanya, isu berkenaan dianggap remeh hingga tiada sebarang pendakwaan rasuah membabitkan individu tertentu dilakukan sehingga kini.

“Pihak berkuasa Malaysia seolah-olah menjadikan isu 1MDB suatu bahan lawak jenaka, lihat sajalah cara mereka mengendalikan skandal berkenaan.

“Siasatan dimulakan dan ditutup dan kemudiannya dibuka oleh pihak berkuasa yang lain, namun sehingga kini tidak ada kesimpulan kukuh dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan.

Lebih mengecewakan, katanya, wujud halangan kepada Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan isu berkenaan secara menyeluruh, di Dewan Negara.

“Peguam negara juga hanya mengesahkan siasatan diteruskan kerana jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said, di Parlimen, pada 30 Oktober lalu.

“Di Parlimen, soalan berkenaan 1MDB ditolak kerana perkara itu sama ada masih di mahkamah atau sedang disiasat. Di mana kes di mahkamah atau siasatan yang ditolak tidak pernah didedahkan,” katanya.

Terdahulu, isu 1MDB terus mendapat liputan umum termasuk pendedahan media antarabangsa membabitkan skandal kewangan yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, sehingga kini siasatan membabitkan kes berkenaan di negara ini tidak didedahkan atas alasan boleh menimbulkan prejudis dan menjejaskan siasatan polis.

Pada masa sama, Ketua Polis Negara yang baru, Datuk Seri Mohd Fuzi Haron memaklumkan bahawa polis sudah melengkapkan siasatannya terhadap skandal 1MDB.

Namun, katanya, tidak ada keperluan untuk meneruskan siasatan melainkan mendapat arahan baru daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Kabinet.