Categories
NASIONAL

Tiga faktor punca Lebuhraya Persekutuan banjir

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Aktiviti pembangunan, halangan kepada sistem saliran sedia ada dan taburan hujan lebat dikenal pasti menjadi punca kepada kejadian banjir kilat, di Lebuhraya Persekutuan berhadapan Angkasapuri, pada 30 Oktober lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jalan yang dinaiki air itu di kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan di bawah konsesi Lebuhraya SPRINT.

“Hujan lebat yang berlaku ini bersifat sementara dengan intensiti hujan pada waktu kejadian adalah selama sejam 20 minit dengan kadar hujan 86.55mm.

“Kadar biasa penurunan hujan adalah sekitar 50mm hingga 60mm,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian, di sini, hari ini.

Katanya, pembangunan yang berdekatan kawasan banjir adalah projek pembinaan Lebuhraya Setiawangsa Pantai Express (SPE DUKE 3) dan projek pembangunan South City.

Loy Sian turut mengemukakan soalan tambahan berhubung kesediaan kementerian untuk mengambil tindakan terhadap pemaju berkenaan.

Tengku Adnan dalam jawapannya berkata, tindakan akan diambil jika pemaju gagal mengikuti peraturan ditetapkan.

Kejadian banjir itu turut mengorbankan dua orang pelajar yang tinggal di PPR Muhibbah selain mengakibatkan kesesakan aliran trafik.