Categories
SELANGOR

Rakyat Selangor kekal terima air percuma 2018

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan program pemberian air percuma kepada seluruh rakyat Selangor untuk tempoh 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen itu dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan berkebajikan dan tanggungjawab pentadbiran Kerajaan Pakatan terhadap rakyat seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri ingin menasihat pengguna supaya membudayakan amalan konservasi air terawat di rumah, pejabat dan industri memandangkan air adalah sumber yang amat bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2018 Negeri, di Dewan Negeri Selangor, petang ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mula melaksanakan dasar pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen, setiap bulan secara percuma untuk rakyat.

Faedah ini adalah untuk semua tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, fahaman politik, asalkan tinggal di Selangor, berhak mendapat air percuma tersebut, setiap bulan.

Inisiatif pemberian dasar air percuma mula dilaksanakan sejak 2008 di bawah inisiatif Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi ketika ini.

Program bekalan air percuma ini juga adalah salah satu komponen bagi Cadangan Penstrukturan semula industri air di Selangor secara holistik dan bersepadu yang diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ia dilaksanakan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan, efektif serta dapat mengurangkan kadar tarif air semasa bagi kemudahan rakyat di Selangor.

=EZY=