Categories
SELANGOR

#Selangor18: Bantuan anggota keselamatan naik setengah juta

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Usaha menyantuni anggota keselamatan, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Terbaru, menerusi pembentangan Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan program itu diteruskan dengan menaikkan peruntukan kepada RM1.5 juta.

Katanya, bantuan itu disalurkan terus kepada anggota veteran ATM yang memerlukan bantuan kesihatan dan kebajikan keluarga.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan, khususnya ATM dan PDRM yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara serta menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

“Mulai 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk Tabung Pahlawan Angkatan Tentera yang disampaikan sendiri oleh saya dalam program ziarah keluarga veteran ATM, di setiap daerah,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2017, RM1 juta diperuntukkan bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera.

Sebahagian daripadanya disampaikan secara terus menerusi program ziarah, pada setiap minggu menerusi Program Turun Padang yang diadakan secara bergilir di setiap daerah.

Sementara baki diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.

=EZY=