Categories
PELANCONGAN SELANGOR

RM2.61 bilion hasil pelancongan di Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak RM2.61 bilion hasil industri pelancongan di Selangor dengan industri pelancongan agro ketiga terbesar iaitu 15 peratus dalam keseluruhan 10 segmen utama pelancongan, setakat Jun lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Tourism Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan 3.7 juta pelancong luar negara dan tempatan, dalam tempoh sama.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi menaik taraf produk pelancongan termasuk membangunkan industri pelancongan agro dalam usaha memajukan potensi pelancongan di negeri ini termasuk pembangunan dan promosi pelancongan agro.

“Kita sentiasa membantu Tourism Selangor memasarkan produk pelancongan agro serta meningkatkan kedatangan pelancong di 10 lokasi utama agro pelancongan, di Selangor,” katanya.

Elizabeth berkata, antara lokasi terbabit ialah kawasan pelancongan Sekinchan, homestay Sungai Sireh, Selangor Fruits Valley, Genting Strawberry Leisure Farm dan Paya Indah Wetlands.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

“Tourism Selangor juga berperanan mempromosikan industri ini menerusi pengiklanan media cetak dan bahan terbitan diperbanyakkan di media tempatan juga bertaraf antarabangsa selain risalah pelancongan seperti Selangor Breakway, Selangor Travel Guide dan Selangor Coffee Table Book.

“Di samping itu, produk agro diperkenalkan dalam siri promosi dalam dan luar negara seperti Matta Fair serta ITB Berlin 2017 selain hebahan di laman sesawang juga media sosial Tourism Selangor,” katanya.

Katanya, program FAM Trip (Familiarization Trip) bersama agensi pelancongan, media tempatan dan antarabangsa turut diadakan bagi mempromosikan agro pelancongan.