Categories
SELANGOR

MB: Jangan timbulkan ketegangan isu roboh rumah dan kedai Kampung Pasir

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 NOV: Isu perobohan rumah, kedai serta pengusiran di persimpangan MRR2 Kampung Pasir, Hulu Klang dan perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang tidak perlu digembar-gemburkan sehingga boleh menimbulkan ketegangan antara Kerajaan Negeri serta penduduk.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu berlaku kerana terdapat segelintir pimpinan parti politik cuba mempengaruhi penduduk, sedangkan mereka yang terbabit sudah diberi jaminan akan dibantu.

“Jangan ada anasir luar yang cuba mendabik dada bahawa mereka ini pejuang. Dalam hal ini, kerana Kerajaan Negeri sudah melakukan pelbagai usaha untuk membantu penduduk terbabit.

“Ingin saya tegaskan, apa yang membezakan Kerajaan Negeri hari ini ialah sebarang tindakan penguatkuasaan daripada sebarang pihak membabitkan struktur rumah sama ada kediaman atau kedai.

“Kita lakukan perancangan dan menjadi amalan kami memastikan penduduk dipindahkan ke lokasi lebih sesuai secara baik serta berhemah. Pihak terbabit akan meneruskan perbincangan bagi memastikan satu tapak baharu disediakan kepada peniaga.,” katanya

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib, berhubung kes perobohan rumah, kedai serta pengusiran penduduk di kawasan terbabit dalam sidang Dewan Negeri Selangor, pagi ini.

Katanya, Kerajaan Negeri turut berbincang dan menghormati keperluan penduduk supaya boleh membuat aktiviti diingini, namun adakala pampasan dituntut tidak munasabah tanpa mengikut akta sedia ada kerana mereka meneroka tanah yang tidak sepatutnya.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tindakan proaktif yang berkemungkinan kita akan bangunkan bangunan baharu dan kemudian disyorkan supaya ia dapat disewakan kepada peniaga dalam kadar sangat minimum,” katanya.