Categories
SELANGOR

RM2 juta upaya pertanian menerusi teknologi fertigasi

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri komited meningkatkan keupayaan usahawan dan menggalakkan pembabitan golongan millennials dalam teknologi fertigasi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, untuk tujuan itu Kerajaan Negeri akan meningkatkan peruntukan dari RM960,000 setahun kepada RM2 juta bagi 2018, termasuk program AgroGems.

“Pelbagai tanaman boleh menggunakan teknologi fertigasi seperti cili, rock melon, timun, peria dan labu air serta sesuai digunakan di kawasan tanah kurang subur seperti tanah gambut selain dapat memanfaatkan kawasan tanah terbiar,” katanya.

Untuk rekod, walaupun berlaku fenomena El Nino, pengeluaran hasil tanaman sayur-sayuran secara konvensional dan fertigasi, di Sabak Bernam masih mampu mencatatkan pengeluaran 1.03 juta metrik tan dengan nilai RM 3.24 juta, pada 2015-2016.

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberdayaan nelayan, petani, penternak dan pesawah melalui program latihan serta bantuan peralatan dengan peruntukan RM 7.1 juta, pada 2018.

“Sebagai kerajaan yang peduli masyarakat desa, Kerajaan Negeri segera tampil menyalurkan bantuan kewangan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan penyakit Bacterial Leaf Blight (BLB) atau Bakteria Hawar Daun.

“Kerajaan Negeri menyalurkan RM8.54 juta kepada 8,953 pengusaha sawah termasuk Pak Lang Razak dari Sungai Leman yang tersenyum lebar menerima cek Kerajaan Negeri daripada saya,” katanya.