Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Belanjawan Selangor 2018 komprehensif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merumuskan secara menyeluruh Belanjawan Selangor 2018 yang disifatkannya lebih bersifat komprehensif kepada seluruh rakyat.

Mohamed Azmin berkata, rakyat Selangor wajar menerima hasil daripada kekayaan negeri menerusi pelaksanaan dasar berkebajikan kepada golongan sasar.

“Belanjawan yang sarat dengan Inisiatif Peduli Rakyat demi membangunkan bangsa dan memakmurkan negeri telah memberikan kebaikan kepada rakyat di setiap pelusuk negeri.

“Maka rakyat datang berbondong-bondong untuk merayakan kemenangan dan menikmati hasil mahsul negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau turut memetik hikayat lama merujuk kepada komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan agenda peduli rakyat di negeri ini.

“Yang capek datang bertongkat,
yang buta datang berpimpin,
yang pekak leka bertanya,
yang kecil terambin lintang,
yang jarak tolak tolakkan,
yang pendek tinjau meninjau ;

dan kini,

yang muda datang berselfie,
demam diberi kad peduli,
musafir naik bas free,
untuk berniaga modal diberi,
ibu-ibu tetap dikasihi”

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, kejayaan pembentangan Belanjawan 2018 terhasil susulan keupayaan pentadbiran negeri untuk kukuh mengangkat prinsip permuafakatan negeri.

Beliau berkata, kejayaan Selangor kini sedang dicemburui oleh banyak pihak, namun ia tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri untuk terus menggalas amanah dengan penuh sabar dan bijaksana.

“Sebagai sebuah negeri kosmopolitan, perpaduan perlu berlandaskan semangat toleransi, kesederhanaan dan saling hormat menghormati.

“Kerajaan Negeri amat prihatin tentang meningkatkanya insiden ‘intolerance’ dalam negara – toleransi semakin pudar dalam masyarakat. Situasi ini telah mengundang Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberikan pedoman

“Dengan tekad dan semangat untuk berjaya, InsyaAllah, Selangor kekal makmur dan rakyat kekal sejahtera,” katanya.

=EZY=