Categories
SASTERA

Saktinya sastera, membumikah karya?   

Oleh Amir Hafyan bin Fadhil                                                                            

MEMBACA Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad pasti tidak dapat membayangkan pelukisan derita pesawah melalui watak Lahuma dan Jeha. Mengenangnya, kita terasa akan keperitan yang pastinya tak semua orang mampu menempuhinya.

Tegakah rakyat Indonesia melupakan tulisan Pramoedya Ananta Toer yang menggegarkan tanah Jawa hingga mengecutkan Soeharto? Warga Kota Paris pula pasti mengingati Hugo kerana jujur mengungkap kemelaratan hidup melalui Les Miserables. Animal Farm, adikarya George Orwell pula menukilkan jeliknya watak ahli sastera beria-iya bergayut di bawah dagu pemimpin; sanggup mengkhianati amanah.

Tak terasakah, ada persamaan apabila membaca naskhah mereka? Atau mungkin persoalan yang patut ditanya, bilakah kali terakhir kita terasa wujudnya emosi kemanusiaan seusai membacanya? Terjentikkah kesedaran atau consciousness dari hati yang terdalam? Jika hilang rasa demikian, maka kita harus bimbang betapa kemanusiaan sebenarnya sudah pupus dalam diri.

Sophie Scholl, aktivis mahasiswa perkumpulan The White Rose, malah menganggap consciousness sebagai kepercayaannya (agama?) ketika disiasat Gestapo Nazi. Mengapa? Bukankah tercatat dalam sejarah, autoriti gentar dengan kesedaran masyarakat. Ia bermaksud, bila-bila masa saja rejim boleh dicabut dari kerusi empuk pemerintahan.

Kesedaran mampu menggugat autoriti yang bersifat kekuasaan — menghampiri fasis dan kezaliman manakala kesedaran mengangkat sifat kebaikan tanpa mengira latar belakang individu.

Apakah kata Aristotle mengenai hubungan moral manusia dan perbuatan baik? Apakah maknanya? Ia bermaksud setiap kezaliman pasti ditentang walau harganya semahal jiwa raga – ini terjadi kepada Sophie yang dihukum bunuh. Itulah penangan kesedaran yang sakral sifatnya apabila ia terpahat kukuh di jiwa.

Sumbu sastera

Tulisan ibarat sumbu yang menyalakan nilai kemanusiaan yang mungkin lama terpadam dalam sanubari. Tulisan yang diolah indah, kadang-kadang ngeri, sebenarnya gambaran realiti masyarakat terpencil. Sastera tumbuh dari penderitaan, tentang sukarnya si miskin mencari rezeki untuk anaknya. Sastera yang jujur menggambarkan kesusahan hidup seorang janda yang menyara anak untuk mendapat pendidikan secukupnya. Sastera jugalah yang menceritakan perit-getir kaum tani menghadapi kegawatan ekonomi. Sastera sebagai “suara” mewakili kaum terpinggir di sebalik kepesatan hutan konkrit.

Inilah sebenar-benarnya fungsi sastera. Belum wujud lagi sastera yang kerjanya mendukung autoriti dan status-quo! Sastera duduknya dengan orang kebanyakan — punya harapan dan mimpi yang tidak boleh dicabut walau segenap kehidupan mereka menjadi sumber mengembungkan poket si autoriti.

Terkenang kata-kata Keris Mas ketika dikurnia anugerah Sasterawan Negara dalam menyentuh hal sastera yang diperalat golongan politik:

“Apabila sastera telah menjadi alat kepentingan politik parti atau golongan, maka ia tidak lagi memenuhi fungsinya sebagai pendukung dan pendorong aspirasi bangsa menuju keadilan masyarakat, kemakmuran, perdamaian dan kesejahteraan hidup manusia. Parti-parti politik adalah organisasi yang memperjuangkan sesuatu menerusi kekuasaan. Kesusasteraan dalam keadaan begini mudah menjadi alat propaganda yang walaupun mungkin menegakkan suatu kebenaran, tetapi mungkin pula bukan seluruh kebenaran, mungkin menegakkan kebenaran parti politik satu golongan yang dianggap kepalsuan oleh golongan yang lain”. 

Sesungguhnya, sastera tidak mewakili si kaya yang buncit perutnya, mengkhayalkan audiens dengan dogma agama yang tidak membawa perubahan melainkan mengangkat tangan berdoa semata-mata.

Naskhah sastera berfungsi sebagai projek pembebasan; menyuntik semangat kemanusiaan dan tegas melawan segala bentuk penindasan terhadap masyarakat — harapan untuk punyai harga diri dan maruah; bukan objek penindasan autoritarian. Dan, tidak dapat tidak, sastera yang subur dalam kalangan mahasiswa menjadi benteng terakhir dalam mewakili suara marhaen.

Bagaimana mereka malah lupa akan peranan sastera? (Belum lagi tanggapan sastera hanya bacaan buat memenuhi keperluan kurikulum sahaja). Sastera harus dekat dengan mahasiswa dalam erti kata memberdayakan komuniti dalam lingkungan mereka.

Karya membumi

Lihat bagaimana sasterawan marjinal Almarhum Pak Kassim Ahmad yang digeruni dengan karyanya. Jangan disangka beliau pergi begitu saja; suaranya masih mengaum-ngaum menggentarkan lutut sekian autoritarian yang masih hidup.

Bayangkan pula detik-detik getir yang ditempuh watak-watak ini:

Sadisnya Salina direndahkan martabatnya oleh Abdul Fakar dan berusaha keras menempuh hidup selepas perang dengan menjadi wanita pelayan; teguhnya pendirian Tukya yang bermati-matian mempertahan kehidupan di rimba hingga terkorban; keluh-kesah seorang penguatkuasa yang terpaksa menyara keluarga dengan pendapatan bulanan tidak seberapa; dan bagaimana feudal peribumi menindas kaumnya sendiri selepas terpukau dengan habuan wang-ringgit oleh si keparat kapitalis.

Naratif ini tidaklah “melangit” kerana inilah sebenarnya subjek yang mengilhamkan inspirasi tulisan “keras” dan membumi Keris Mas, Pak Sako, A Samad Said, Azizi Abdullah, Usman Awang dan lain-lain yang meremangkan bulu roma, jantung berdegup kencang mengenangkan jerih-perih watak, kesusahan serta teguhnya semangat saat mengharungi badai hidup. Begitulah saktinya tulisan mereka.

Sastera bukankah perbuatan atau hasil perenungan mendalam yang menggambarkan hal-ehwal keadaan masyarakat dan masalah yang melingkungi penulis pada masanya? Kata Uthaya Sankar SB, sesuatu karya tak dapat tidak hendaklah sebagai perakam zaman dan bukan sekadar luahan emosi; atau puja-pujaan kuasawan.

Kontranya pula apabila naskhah sebegini mulai dilupai. Subjek sastera malah disisih dari topik perbincangan; subjek lain rakus pula didiskusi. Ini tragedi yang menimpa apabila mereka meminggirkan sastera kerana berasa tiada apa-apa masalah dalam kehidupan masyarakat, walhal realitinya tidak seindah yang disangka.

Peningkatan indeks jenayah seksual, misalnya. Jangan buat-buat lupa kisah mahkamah perihal tuduhan mencuri kerana tidak punya cukup belanja akibat bebanan sara hidup. Tak dapat disorok juga rasuah yang menjadi-jadi dalam kalangan autoriti.

Belum lagi soal politik, ekonomi, ketenteraan dan isu peringkat global. Pada peringkat nasional saja kita sudah buat endah tak endah.

Bukanlah mahu mengkritik sikap segelintir yang semacam lupa akan sastera; bukan pula menghukum mereka yang apabila disebut sastera, bagaikan cacing kepanasan. Geli dan benci layaknya kudis di badan!

Mahasiswa perlu menyemarakkan kembali diskusi novel atau cerpen perihal masalah kemunduran negara, kritik sastera, kelas penulisan dan acara “malam kesenian”. Ketepikan perbezaan politik kerana mahasiswa sepatutnya berpadu suara buat mereka yang masih terbungkam dalam gelap. Sastera sifatnya tak ditunggangi; ia suatu non–partisan. Usah dibicarakan hal remeh-temeh tetapi mulalah menulis.

Masyarakat tidak akan pernah menunggu, kitalah yang harus punya insiatif.

Menulis berani

Kezaliman tidak bisa bertahan ke akhir zaman,

    Seniman dan cendekiawan harus mengumpul kekuatan

Bukan daripada kereta kebal, gas pemedih mata atau senjata api

tetapi daripada keberanian intelektual dan kekuatan hati nurani”

(Sajak ‘Kunjungan Semula’, Baha Zain).

Apa jua genre sekalipun, tanggungjawab penulis ialah sebagai jurubicara kebenaran. Jangan sesekali menggunakan mata pena untuk menghasilkan karya puja-pujaan dan bermuka-muka di depan autoriti demi suatu pengiktirafan. Keberanian mengkritik pihak berkepentingan atau dalam terminologi Edward Said, “kewajiban untuk melakukan kritikan terhadap autoriti dan menyampaikan kritikan terus kepada kekuasaan” adalah tugas utama yang perlu dilaksanakan.

Penulis mesti jujur dan berani melahirkan pandangan mengenai perkara yang dicanangkan pemerintah dalam soal sosioekonomi dan sosiopolitik negara. Mereka perlu sentiasa proaktif terhadap pelbagai persoalan, lebih-lebih lagi jika melibatkan masyarakat.

Kerana relevannya karya sastera dalam masyarakat bergantung kepada kesediaan penulis menunaikan tanggungjawab hakiki. Bak lirik Generasi Genius, Benzooloo, pegang pen dan kertas biar sampai habis nafas.