Categories
SELANGOR

Sasar RM2.55 bilion, dapat RM2.95 bilion

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 17 NOV: Selangor berjaya mencatatkan pendapatan negeri berjumlah RM2.95 bilion, sekali gus melebihi sasaran RM2.55 bilion, tahun ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, hasil dicatatkan setakat 15 November lalu dilihat cukup memberansangkan bagi Kerajaan Negeri.

Katanya, pencapaian itu dilaporkan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terbaharu.

“Kerajaan Negeri sentiasa mencatatkan hasil melebihi sasaran dan sangat berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Persekutuan gagal mencapai sasaran dan sekadar mencatat defisit, hasil pelaburan besar dalam pengurusan dan tidak kepada pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Karnival Inisiatif Peduli Rakyat dan Sambutan Deepavali Hulu Selangor 2017, di Tapak Pasar Malam, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Belanjawan Selangor 2018 sekali lagi mencatatkan lebih 53 peratus belanja pembangunan iaitu RM1.66 bilion dan selebihnya belanja pengurusan iaitu RM1.46 bilion.

Ia sangat berbeza dengan formula Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri yang memperuntukkan RM234.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala selebihnya iaitu RM46 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.